THE Rolling Stones
THE Rolling Stones
Agensi

London: Dalam usia menghampiri 80 tahun, kumpulan rock legenda The Rolling Stones yang dianggotai Mick Jagger, 78; Keith Richards, 78; dan Ronnie Wood, 74, terus gagah mengadakan konsert jelajah.

Terbaharu, Rolling Stones yang menyambut ulang tahun ke-60 tahun ini mengumumkan konsert jelajah Eropah yang dinamakan Sixty bermula Jun ini.

Mereka bakal mengadakan 14 konsert yang bermula di Madrid, Sepanyol pada 1 Jun ini. Ia merangkumi 10 negara termasuk Britain.

Mereka juga akan mengadakan konsert di Stadium Anfield, Liverpool yang juga konsert pertama mereka di situ selepas lebih 50 tahun.

Selain itu, Rolling Stones juga akan mengadakan dua konsert di Hyde Park, London.

Dalam konsert jelajah ini, Jagger, Richards dan Wood akan menggunakan khidmat Steve Jordan sebagai pemain dram.

Terdahulu, pemain dram mereka, Charlie Watts yang menyertai Rolling Stones pada 1963 meninggal dunia tahun lalu pada usia 80 tahun.

"Tak sabar nak bertemu anda semua musim panas ini," tulis Jagger di Twitter yang turut disertakan video persembahan live Rolling Stones sejak 10 tahun lalu.

Rolling Stones akan membawakan lagu-lagu klasik mereka antaranya (I Can't Get No) Satisfaction dan Paint It Black selain beberapa lagu yang tidak 'dijangka' daripada ratusan lagu mereka.

Konsert jelajah Sixty juga akan diadakan di Munich, Amsterdam, Bern, Milan, Brussels, Vienna, Paris dan Stockholm.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 11:34 AM