ANAK bongsu kepada Datul Jamal Abdillah.
ANAK bongsu kepada Datul Jamal Abdillah.

Kuala Lumpur: Penyanyi yang kini bergelar usahawan, Zaki Yamani, 16, memohon netizen supaya tidak menabur fitnah dengan mengatakan bahawa dia mendapat modal daripada bapanya yang juga penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah untuk membuka perniagaan makanan.

Dalam hantarannya di Instagram, Zaki berkata, segelintir netizen memberi reaksi sedemikian terhadap laporan Harian Metro mengenai Jamal yang tidak menyangka anaknya itu mampu menguruskan perniagaan sendiri dalam usia 16 tahun, baru-baru ini.

"Cubalah tanya baba (Jamal), adakah dia bagi modal untuk perniagaan Zaki. Jangan buat fitnah, boleh?" tulisnya di Instagram.

Dalam hantaran sama, Zaki berkata, dia mendapat modal dengan mengumpul wang daripada beberapa sumber termasuklah kerja-kerja ulasan (reviu) produk.

"Penat Zaki kumpul duit 'review', duit menang (program) TV3 dan kongsikan dengan mommy Zaki. Suka-suka saja nak fitnah. Sokonglah perniagaan Zaki. Tak baik tau korang," tulisnya yang disertakan dengan emoji menangis.

Zaki turut memuat naik tangkap layar antara komen 'kasar' yang diterima daripada netizen yang menganggap bahawa dia dilahirkan dalam keluarga kaya-raya.

"Biasalah, bapanya berduit. Apa saja boleh. Kita, celik mata kat dunia ini, anak orang biasa-biasa saja. Hidup tak senang mana pun. Cukup rasa sahaja, tambah pula diuji dengan pahit perit kehidupan dalam keluarga," tulis seorang netizen.

Komen lain pula menganggap bahawa sekiranya sesuatu perniagaan tidak diuruskan dengan baik, ia tidak akan berjaya.

"Ada modal banyak tapi tak reti jalankan perniagaan, lingkup," tulis netizen lain pula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 2:58 PM