Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya rasa kalau perkara dan benda-benda positif, barulah kita galakkan. Saya rasa memang tak sangka jugalah dia buat berniaga macam itu. Keberanian dia,"

Demikian kata penghibur terkenal negara yang mendapat jolokan 'Raja Pop', Datuk Jamal Abdillah, 63, berhubung pembabitan anaknya, Zaki Yamani, 16, dalam perniagaan pada usia masih remaja.

Jamal dihubungi berkata dia melihat kejayaan Zaki yang kini mengusahakan kedai makan dikenali Ngopi Dulu Yop, di Kajang, Selangor sejak lima bulan lalu mendapat dorongan kuat daripada ibunya.

"Apa yang dilakukannya itu (bisnes)   mungkin atas dorongan ibunya. Jadi, saya boleh anggap sesuatu yang berjaya untuk dia. Satu kejayaan yang dia nampak atas sikapnya mahu bekerja, mahu berusaha memperbaiki dirinya.

"Saya bersyukur, cuma nak ingatkan dia jangan terlalu teruja dan teruskanlah berusaha dengan bersungguh-sungguh," katanya kepada Harian Metro.

Jamal yang turut aktif dalam perniagan ditanya apakah Zaki  ada buka mulut berbincang dengannya untuk terbabit menjalankan bisnes berkata, mereka tidak pernah membincangkannya.

"Zaki tak ada berbincang dengan saya. Cuma, dia pernah beritahu saya nak berniaga. Tapi, saya pun tak bertanya dia dengan lebih lanjut," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan Zaki juga seorang penyanyi kini bergelar tauke kedai makan pada usia 16 tahun walaupun segelintir rakan sekolahnya tidak percaya dia berniaga.

Zaki berkata dia tidak kisah pun sama ada rakan sekolah mahu percaya atau tidak kerana paling utama baginya ialah terus berusaha mencari rezeki bersama ibu tersayang.

Mengenai menu di kedai makannya, Zaki berkata ada pelbagai hidangan makanan segera inspirasi dari Korea disediakan berserta minuman berasaskan kopi hasil air tangan dia sebagai 'barista' dengan harga berpatutan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 6:59 PM