ZIHA pilih Aubrey Suwito selaku komposer lagu Adat Kasih.
ZIHA pilih Aubrey Suwito selaku komposer lagu Adat Kasih.
Sudirman Mohd Tahir


WALAU sudah hampir empat tahun membuat keputusan memperlahankan kerjaya seni demi memberikan tumpuan kepada anak-anak, jauh di sudut hati penyanyi dan pelakon Ziha Salleh masih menyimpan impian untuk kembali aktif khususnya dalam bidang nyanyian.

Meski sibuk menguruskan hal rumah tangga dan keluarga, rupa-rupanya Ziha, 27, atau nama sebenarnya Nor Aziha Md Salleh, sempat menyiapkan single keduanya tahun lalu.

Selepas setahun 'merahsiakan' rencananya itu, Ziha kini muncul dengan single berkonsepkan pop tradisional berjudul Adat Kasih.

Menurut Ziha, dia memang sengaja merahsiakan kemunculan single terbaharunya itu daripada pengetahuan sesiapa kecuali ahli keluarga terdekat saja.

Memilih irama pop tradisional sebagai taruhan baharu, Ziha berkata pendedahan awal dan latar belakang keluarga yang meminati lagu irama tradisional dan zapin menjadi faktor dia memilih lagu bergenre itu.

"Irama tradisional cukup dekat dengan jiwa kerana saya dilahirkan di Johor Bahru, latar belakang keluarga yang menggemari irama tradisional dan zapin turut menyuntik minat saya terhadap irama tradisional sejak kecil.

"Namun, bagi membolehkan Adat Kasih diterima ramai dan bersesuaian dengan cita rasa pendengar masa kini, saya mengambil langkah menggabungkan elemen pop bersama tradisional. Saya tahu bukan mudah untuk mendapatkan lagu yang bersesuaian, oleh itu saya dan suami mengkaji betul-betul selama dua tahun sebelum menghasilkan single ini.

"Kami memilih Aubrey Suwito sebagai komposer kerana yakin dengan kredibiliti dan juga kemampuannya. Pengalamannya yang banyak kali bekerjasama dengan penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga membuatkan kami yakin dia mampu memberi yang terbaik," katanya.

Menurut Ziha, sebelum Aubrey menghasilkan lagu buatnya, mereka terlebih dulu berjumpa bagi membincangkan mengenai konsep lagu serta rujukan muzik yang bersesuaian.

"Ketika Aubrey memperdengarkan demo Adat Kasih buat pertama kali, saya terus berkenan. Dia tahu apa yang saya mahukan, dan auranya sampai.

ZIHA Salleh muncul dengan Adat Kasih berkonsepkan irama pop, tradisional.
ZIHA Salleh muncul dengan Adat Kasih berkonsepkan irama pop, tradisional.

"Kami mengambil sedikit masa untuk membuat gubahan muzik yang bersesuaian dengan saya. Selepas berpuas hati, barulah proses rakaman dijalankan di Cranky Studios yang hanya mengambil masa sehari saja," katanya.

Dia juga enggan mengulangi kesilapannya ketika tampil dengan single pertama Takkah Ini Cinta, empat tahun lalu.

Kata Ziha, ketika itu dia terburu-buru ingin memiliki single pertama tanpa mempedulikan sama ada dia sudah bersedia ataupun tidak.

"Waktu itu saya berasakan sudah cukup bersedia, sedangkan sebenarnya belum cukup sedia pun dari segi nyanyian dan publisiti. Ditambah keadaan semasa yang tidak menyebelahi saya ketika itu, kerana saya keluarkan single berkenaan selepas Akademi Fantasia (AF) tamat. Malah, saya juga lebih banyak berlakon sehingga orang lupa yang saya pun sebenarnya penyanyi.

"Jadi, kali ini saya tidak mahu terburu-buru lagi. Sebagai persediaan, saya turut mengikuti kelas vokal intensif selama empat minggu bersama Puan Faezah dari Fakulti Muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, banyak teknik nyanyian yang betul saya pelajari bersama beliau," katanya.

Ditanya tidakkah dia bimbang berdepan persaingan daripada artis baru (BBNU) yang lebih dikenali serta memiliki banyak lagu popular dan 'trending', Ziha berkata, setiap penyanyi mempunyai sasaran mereka yang tersendiri.

Katanya, dia mensasarkan peminat yang memiliki hati dan jiwa pada alunan muzik irama tradisional seperti dirinya.

"Saya tidak takut untuk bersaing kerana setiap penyanyi mempunyai sasaran pendengar yang diinginkan. Sasaran saya adalah mereka yang ada hati dan jiwa pada irama muzik tradisional.

"Tapi bagi membolehkan lagu saya diterima, saya menyuntik irama pop dan tradisional sebagai pengenalan. Mungkin selepas ini, andai ada rezeki lagi untuk merakam single, saya akan memperkenalkan irama tradisional sepenuhnya pula," katanya yang mendedikasikan lagu itu kepada kedua ibu bapa, mentua dan ahli keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 6:30 AM