Fazley (kiri) bersama Aliff Aziz.
Fazley (kiri) bersama Aliff Aziz.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan bekas peserta program Gegar Vaganza 8 (GV8), Datuk Fazley Yaakob meminta netizen supaya sentiasa bersangka baik dengan kemenangan penyanyi Singapura, Aliff Aziz di GV8 dan tidak menyentuh sentimen kenegaraan di media sosial.

Fazley dalam satu hantaran di Instagram juga mengingatkan semua itu adalah rezeki yang sudah tertulis buat Aliff.

"Buat kalian yang sibukkan, 'Kenapa orang Singapura yang menang? Sebab Tok Ram (Datuk Ramli MS) orang Singapura, maka dia menangkan orang Singapura', cubalah bersangka baik untuk kali ini!

"Rezeki semua Allah dah tentukan. Tak kiralah Malaysia ke, Indonesia ke, Singapura ke, kita dah satu rumpun. Jangan dibawa sentimen kenegaraan ke pentas rezeki Gegar Vaganza," tulisnya.

Menurut penyanyi yang digelar Abang Asmara itu, rezeki setiap manusia tidak pernah salah alamat.

"Rezeki tak pernah salah alamat, namun mereka yang berhati hitam sering kali merasa mereka lebih layak mengutuk dan mengeji tanpa ada rasa segan.

"Tahniah buat Aliff Aziz dan Bella Astillah, kemenangan yang sudah diduga, kemenangan yang sudah ditentukan Allah dan bukan kemenangan yang dirancang manusia. Wallahualam," tulisnya.

Dalam hantaran sama, Fazley yang menganggap Aliff seperti adiknya sendiri berkongsi mengenai pengorbanan dan kesungguhan Aliff dan isterinya, Bella di samping mendoakan kesejahteraan rumah tangga mereka.

"Saya sendiri melihat bagaimana seorang isteri mengorbankan segala-galanya demi melihat kejayaan suami di pentas perjuangan.

"Pernikahan yang bergolak hebat dipelihara oleh pegangan agama yang semakin teguh. Abang tumpang bangga dengan kalian berdua.

"Allah sentiasa akan berlaku adil! Ini adalah kemenangan kalian sebagai pasangan! Semoga masjid yang dibina kekal teguh hingga ke hujung nyawa!" tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 1:39 PM