Aliff Aziz dan Bella Astillah.
Aliff Aziz dan Bella Astillah.
Ridzuan Abdul Rahman


Putrajaya: Sebahagian daripada wang tunai RM100,000 yang dimenangi Aliff Aziz sebagai juara Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) malam tadi mungkin akan digunakan untuk aktiviti jemaah dakwah yang disertainya.

Aliff ketika ditemui berkata, sudah tentu wang kemenangan itu akan digunakan untuk perkara yang baik-baik.

"Saya sebenarnya tak fikir lagi dan masih belum hadam nak buat apa dengan wang kemenangan ini. Sebahagian akan diperuntukkan untuk keluarga di Singapura, di sini dan beberapa lagi perkara lain. Doakan semuanya lancar. Banyak lagi perancangan tapi belum boleh fikir lagi," katanya yang turut membayangkan ia juga akan digunakan untuk aktiviti jemaah dakwahnya.

Menerusi persembahan malam tadi, Aliff menyanyikan lagu Sampai Syurga dalam segmen solo, berduet dengan Hafiz Suip menerusi lagu Dealova dan tampil dengan lagu Bangun dalam segmen 'battle' bersama Aweera mendapat markah sebanyak 83.06.

Aliff berterima kasih kepada produksi GV8 dan Astro kerana membukakan peluang untuk dia dan peserta lain terbabit dalam program ini.

"Saya bersyukur kerana dipermudahkan buat persembahan malam ini (tadi) dan berikan yang terbaik. Saya sematkan dalam hati ini persembahan terakhir saya dan kawan dalam GV8. Selepas ini takkan ada lagi.

"Jadi, saya cuma berharap semua peminat terhibur dengan persembahan kami dan terima keputusan dengan hati terbuka dan berpuashati dengan pengorbanan yang diberikan oleh kami selama 10 minggu," katanya.

Aliff yang juga penyanyi Singapura menewaskan lima lagi peserta dalam program realiti popular itu.

Tempat kedua dimenangi Nikki Palikat yang mengutip 81.26 markah dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi .

Tempat ketiga dan keempat menjadi milik Suki Low serta Adibah Noor dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan RM20,000 serta trofi.

Sementara itu, Azan Scan dan Aweera masing-masing menduduki tempat kelima dan keenam dan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan RM10,000 serta trofi.

Selain itu, Aliff turut memenangi Anugerah Bintang Paling Power Meow secara automatik.

Acara kemuncak GV8 yang dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse yang berlangsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menampilkan empat juri iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Joe Flizzow.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 12:14 PM