Iman Suhana
Iman Suhana
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: "Saya sangat paranoid dan takut sebab asyik memikirkan keadaan bayi dalam kandungan," kata pelakon drama Takdir Yang Tertulis, Iman Suhana,32, yang berkongsi pengalaman menjalani kuarantin selama lapan hari di Hospital Sungai Buloh selepas disahkan positif Covid-19. 

Iman yang sarat hamil lapan bulan mengakui tidak senang duduk, namun bersyukur doktor memaklumkan keadaan diri dan anak dalam kandungan stabil. 

"Saya baru saja dibenarkan pulang hari ini selepas lapan hari menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh bagi memantau keadaan saya yang berisiko tinggi kerana hamil. 

"Sebelum dimasukkan ke hospital saya terlebih dahulu menjalani kuarantin di rumah selama dua hari, tapi doktor menyarankan saya ditahan di wad supaya dapat memantau bacaan jantung bayi dalam kandungan dan oksigen saya. Ketika dapat tahu saya positif virus , inisaya memang mendiamkan diri dan tidak beritahu sesiapa sebab saya tak kuat nak hadapi situasi ini. Tambah lagi, saya risaukan keadaan anak dalam kandungan. 

"Malah menjalani kuarantin di hospital saya akui sangat mencabar sebab tidak boleh ke mana-mana. Saya juga terpaksa berjauhan dengan anak sulung buat kali pertama," katanya. 

Menurut Iman, dia dijangkiti virus itu daripada suaminya yang terlebih dahulu disahkan positif Covid-19. 

"Apabila jadi kontak rapat suami, saya terus rasa tak sedap hati. Jadi saya pun buat ujian saringan di rumah dan mendapati saya juga positif. Kemudian saya ke klinik dan keputusan masih sama. Tapi mujurlah tiada gejala yang teruk berlaku. Demam pun sekejap saja. Namun sepanjang 10 hari kuarantin saya masih mengalami batuk, selesema dan sakit tekak, tapi tidak teruk, Alhamdulillah," katanya. 

Pelakon kelahiran Taiping, Perak ini mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Muhammad Syazwan Ibrahim, 32, pada 2018. 

Pasangan ini dikurniakan cahaya mata perempuan, Maya Inara yang kini berusia tiga tahun. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 2:54 PM