Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon popular, Mira Filzah kini hamil dan bakal memasuki trimester ketiga tidak lama lagi.

Suaminya, Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il Anuar berkata, pasti ramai mengetahui mereka sudah lama menyimpan hasrat untuk menimang cahaya mata dan dia bersyukur apabila Mira disahkan hamil beberapa bulan lalu.

"Syukur Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah pemilik seluruh alam, perkhabaran diterima pada tahun lepas yang kami akan menimang cahaya mata sulung yang mana usia kandungan akan memasuki trimester ketiga tidak lama lagi.

"Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik perancang. Seperti semua sedia maklum, kami berdua sudah lama ingin membina keluarga dan turut melalui episod turun dan naik sehingga ke hari ini. Semestinya Allah SWT lebih mengetahui setiap perancangan-Nya.

"Kepada semua yang berharap dan mendoakan kami dari dulu sehingga ke hari ini, dengan rasa insaf dan rendah diri kami mengucapkan jutaan terima kasih. Semoga Allah SWT merahmati dan mengangkat segala usaha serta doa setiap seorang daripada kita…amin," katanya.

Sementara itu, Mira yang sebelum ini menyimpan rahsia mengenai kehamilannya turut berkongsi perasaan teruja dengan berkongsi berita gembira bakal menjadi seorang ibu tidak lama lagi.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman turut memuat naik perkongsian yang sama serta memohon doa daripada semua pihak agar dipermudahkan semuanya.

Dalam pada itu, rakan selebriti termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza serta peminat turut menyatakan rasa teruja dengan berita gembira itu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada September 2020.

Wan Emir adalah anak kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 12:54 PM