SOOBIN masih tidak percaya dengan kejayaan ditempa TXT. - FOTO Google
SOOBIN masih tidak percaya dengan kejayaan ditempa TXT. - FOTO Google
HM Digital

ANNYEONGHASEYO! Apabila berada dalam kumpulan, seseorang artis biasanya lebih cukup selesa apabila bekerja secara berpasukan. Keyakinan diri lebih tinggi dengan adanya sokongan padu mereka.

Tidak terkecuali buat Soobin yang juga anggota TXT mengakui dirinya jauh lebih yakin apabila bersama yang lain. Dia terbiasa dengan persekitaran sebegitu dan bukan secara sendirian.

Namun, dia perlu akur bahawa skop kerjayanya turut merangkumi kelangsungan jadual solonya.

Bukan setiap masa dia perlu berkepit dengan rakannya yang lain termasuk untuk sesi fotografi.

Tampil menjayakan sesi fotografi secara solo untuk sebuah majalah baru-baru ini, dia mengakui agak canggung awalnya.

"Memang jarang sekali saya melakukan sesuatu kerja tanpa anggota TXT yang lain. Maka timbul kerisauan yang agak besar dalam diri.

"Saya memang agak gementar, tetapi terima kasih untuk atmosfera yang sangat ramah di set. Sekali gus perasaan gementar itu hilang serta-merta," katanya.

Tidak disangkal tahun lalu menjadi tahun bertuah buat TXT apabila album kedua mereka, The Chaos Chapter: FREEZE mendapat jualan tertinggi di Amerika Syarikat untuk kategori berkumpulan dan artis lelaki.

Kumpulan itu turut menjadi satu-satunya bintang K-Pop yang melancarkan tiga album dalam carta Billboard 200 tahun lalu.

Lagu hit mereka 0X1=LOVESONG (I Know I Love You) menjadi lagu bahasa Korea paling lama bertahan di kedudukan nombor satu carta Line Music di Jepun.

Berkongsi mengenai pencapaian terbabit, Soobin jelas masih tidak percaya dengan kejayaan ditempa mereka. Apalagi sepanjang tempoh itu, aktiviti promosi mereka terkekang dek pandemik Covid-19.

"Mulanya saya rasa seakan-akan ia cuma mimpi dan tidak percaya. Memandangkan kami tidak dapat adakan siri jelajah, sukar buat kami kembangkan lagi jumlah pengikut.

"Bagaimanapun, disebabkan kejayaan sebegitu membuatkan saya lebih yakin bahawa jalan yang kami pilih adalah paling tepat. Saya rasa sangat bangga dan seronok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 6:46 AM