KUGIRAN Masdo.
KUGIRAN Masdo.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Kumpulan Kugiran Masdo terharu dan berterima kasih kepada peminat apabila nama mereka tersenarai sebagai Artis Malaysia paling banyak distrim di Spotify bermula 1 Januari hingga 6 Januari lalu.

Masdo yang dianggotai oleh Ali Sariah (penyanyi), Putu Ceri (pemain bass), Am (dram), Asmawi (gitar utama), dan Chakam (keyboard) menewaskan nama-nama besar termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan kumpulan Search apabila mengungguli tangga pertama dengan jumlah strim sebanyak 1.481juta.

Ia diikuti oleh Yuna dengan 1.136juta, Aisha Retno (1.098juta), Datuk Seri Siti Nurhaliza (488,000), Exists (301,000), YonnyBoii (300,000), Iklim (297,000), Hujan (257,000), Search (227,000) dan Ukays (212,000).

Ali yang dihubungi berkata, semuanya berlaku sejak Masdo mencipta populariti di negara jiran, Singapura. 

"Sebagaimana semua tahu, lagu-lagu Masdo juga kini mula 'menggila' di Indonesia. Bermula dengan lagu Dinda dan juga Janji Manis menjadi viral di aplikasi Tik Tok. Justeru itu, kesannya dapat dilihat dengan peningkatan pendengar di seluruh platform digital.

"Perancangan terbaharu pula, Masdo akan ke Indonesia dalam rangka melakukan jelajah promosi dan sekali gus membuat persembahan di dalam acara hiburan di sana," katanya kepada Harian Metro. 

HANTARAN dibuat Kugiran Masdo di Instagram mereka.
HANTARAN dibuat Kugiran Masdo di Instagram mereka.

Menurut Ali, sebelum lagu Dinda mula tular, Masdo perasan ada orang di sana menggunakan lagu Janji Manis menerusi album kedua mereka iaitu Jalan Abbey.

"Ada orang Indonesia sangka Dinda itu nama orang hingga dimarahinya individu yang bernama Dinda supaya jangan marah-marah lagi.

"Yang pasti, kami juga rancang untuk keluarkan single baharu untuk peminat termasuk di Indonesia. Kami tak kisah berkenaan momentum cepat atau lambat lagu ini dikeluarkan. Kalau sekiranya rezeki kami untuk jadi, maka jadilah," katanya. 

Ali mengakui bersyukur apabila karya Kugiran Masdo berjaya menambat peminat Indonesia dengan cara tidak dijangka.

"Kami mula masuk ke pasaran sana (Indonesia) sejak Oktober lagi dan selepas itu lagu-lagu Masdo mula diterima peminat- peminat di negara jiran berkenaan.

 "Apapun, single terbaharu kami nanti akan kekal dengan konsep muzik yang sama. Tapi, pada masa akan datang mungkin ada perubahan sebab sebagai pemuzik kami tak mahu hasilkan benda sama berulang kali," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 6:02 PM