Ahmad Fedtri Yahya menyelami isi hati mangsa secara terus dan mendalam selain turut menampilkan panel jemputan untuk memberi pandangan serta cadangan mengatasi masalah dilalui mangsa.
Ahmad Fedtri Yahya menyelami isi hati mangsa secara terus dan mendalam selain turut menampilkan panel jemputan untuk memberi pandangan serta cadangan mengatasi masalah dilalui mangsa.
Hanis Aliaa Hidzir

SEBUAH program bual bicara baharu di TV9, ADUAN JIWA bakal menemui penonton mulai 2 Januari 2022.

Dikendalikan oleh Ahmad Fedtri Yahya, program 10 episod ini akan bersiaran setiap Ahad bermula 8.30 malam.

Program berdurasi setengah jam ini bakal memaparkan kisah benar diceritakan sendiri oleh mangsa kes tertentu.

Menerusi program ini, Ahmad Fedtri Yahya akan menyelami isi hati mangsa secara terus dan mendalam selain turut menampilkan panel jemputan untuk memberi pandangan serta cadangan bagi mengatasi masalah dilalui mangsa.

Antara topik bakal dikupas termasuk kemurungan dan kebimbangan, penderitaan rumah tangga, akhlak serta jenayah seksual.

Episod pertama ADUAN JIWA bakal bersiaran pada 2 Januari ini akan memaparkan perkongsian seorang remaja yang mempunyai masalah ketagihan pornografi sejak berusia lapan tahun.

Obsesi terhadap dunia porno menjadikan remaja ini menemui jalan buntu dalam usaha untuk berubah serta sukar meninggalkan bahan terlarang terbabit akibat sudah sebati dengan jiwanya.

Episod seterusnya pula akan menampilkan dua kisah berbeza yang dibelenggu perasaan rindu yang menebal.

Kisah pertama adalah tentang seorang anak yang sangat rapat dengan arwah ayahnya sehingga pemergian ayahnya meninggalkan perasaan terkilan akibat dia tidak berkesempatan berjumpa buat kali terakhir.

Manakala kisah kedua pula menceritakan keadaan seorang ibu yang dihukum perasaan pilu dan rindu selepas anak kecilnya hilang di rumah dan masih tidak ditemui sehingga kini.

Sementara itu, artis popular tanah air Jaafar Onn, turut berkongsi kisah hidupnya pernah merana akibat dendam dan dengki sehingga kesihatannya terjejas teruk dalam episod ketiga yang membawakan topik 'bahana sihir'.

Dalam episod empat dengan topik 'muflis dan sifilis' pula akan berkongsi kesengsaraan hidup seorang wanita yang diceraikan oleh suaminya selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.

Sepanjang perkahwinan, bekas suami jarang mendekati mahupun memberikannya nafkah batin dan semuanya terjawab apabila bekas suami merupakan seorang homoseksual yang aktif ditiduri teman sejenis sehingga dijangkiti penyakit kelamin lalu merosakkan organ dalamannya.

Lebih menyedihkan, wanita malang ini turut difitnah dan dimanipulasi oleh bekas suaminya yang bijak mengatur langkah untuk menutup kejahatannya.

Apakah topik dan kes lain yang bakal dipaparkan dalam ADUAN JIWA?

Saksikan paparan menarik dalam program bual bicara terbaharu TV9, ADUAN JIWA mulai 2 Januari 2022, setiap hari Ahad, jam 8.30 malam hingga 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 10:11 AM