MICHAEL (tengah) yang turut hadir pada majlis perkahwinan Kamal dan Uqasha baru-baru ini.
MICHAEL (tengah) yang turut hadir pada majlis perkahwinan Kamal dan Uqasha baru-baru ini.
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pengarah Michael Ang sedia memberi kerjasama kepada pihak polis susulan dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada majlis perkahwinan pasangan selebriti Uqasha Senrose dan Kamal Adli di Puncak Dani, Genting Highlands, Pahang pada 15 Disember lalu.

Michael berkata, setiap tetamu yang hadir perlu mengimbas kod MySejahtera dan setakat ini tiada tetamu dimaklumkan positif Covid-19.

"Saya ada ketika majlis malam berinai dan resepsi Uqasha dan Kamal yang berlangsung di Genting Highlands. Setahu saya semua yang hadir perlu menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

"Sudah tiga minggu majlis terbabit berlangsung dan Alhamdulillah tiada tetamu yang disahkan positif Covid-19 atau dimaklumkan saya kontak rapat dengan tetamu yang hadir. Semua yang hadir juga wajib mengimbas kod MySejahtera sebelum memasuki perkarangan dewan.

"Seandainya saya dipanggil untuk memberi keterangan saya sedia beri kerjasama kepada pihak polis bagi memudahkan proses siasatan dilakukan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Michael, majlis pernikahan Uqasha dan Kamal berlangsung dengan aman dan bahagia sekaligus dia berharap tiada pihak cuba membesar-besarkan isu terbabit.

"Saya rasa kes banjir dan rompakan yang berlaku di negara ini perlu lebih diberi perhatian.

"Tapi kalau wujud kluster Covid-19 pada majlis terbabit boleh lah jika nak ambil perhatian" katanya.

Sementara itu usaha Harian Metro mendapatkan kenyataan daripada Uqasha dan Kamal gagal apabila pasangan itu sedang menunaikan ibadah umrah.

Pada 27 Disember lalu, polis menerima satu laporan berhubung video tular majlis perkahwinan Uqasha dan Kamal yang didakwa tidak mengikut SOP.

Menerusi video yang tular, pihak polis mendapati terdapat tetamu yang hadir tidak memakai pelitup mika serta tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 2:43 PM