AYU Damit bersama suami, Syed Fauzi dan tiga anak mereka.
AYU Damit bersama suami, Syed Fauzi dan tiga anak mereka.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Ayu Damit yang meraikan ulang tahun perkahwinan ke-13 bersama suami, Syed Fauzi semalam merancang untuk menambah cahaya mata keempat.

Bagaimanapun, Ayu berkata, dia terlebih dahulu mahu menamatkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam Ijazah Sarjana Muda Asasi Seni Kreatif.

"Memang ada perancangan untuk menambah zuriat lagi tapi saya mahu habiskan belajar dulu. Saya bimbang kalau hamil sekarang akan mengganggu sedikit tumpuan pembelajaran dan kerjaya seni serta perniagaan yang diusahakan.

"Apapun saya berserah kepada rezeki Allah. Siapalah saya untuk menolak takdir yang sudah ditentukan," katanya ketika ditemui di majlis Hari Keluarga Harian Metro 2021 di Genting Highlands, semalam.

Ayu dan Syed Fauzi dikurniakan tiga anak iaitu Syed Nasrul Haikal, 12; Sharifah Alya Aryana, 9; dan Syed Aqif Najmi yang kini berusia setahun.

Dalam pada itu, Ayu berasa berbangga apabila kerjaya seninya sentiasa mendapat sokongan dan liputan daripada media terutama Harian Metro.

Katanya, dia masih ingat sewaktu kejayaannya pada program realiti One In A Million musim kedua yang mendapat liputan meluas.

"Sewaktu saya membeli surat khabar untuk melihat berita mengenai kejayaan saya, pekerja kedai itu agak terkejut apabila melihat wajah saya terpampang di muka depan Harian Metro.

"Alhamdulillah sehingga kini saya masih mendapat sokongan daripada rakan-rakan media. Diharapkan ikatan baik ini akan terus berkekalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 1:36 PM