GENSAN Punch rungkai sisi mendalam kehidupan dan pergelutan peninju.
GENSAN Punch rungkai sisi mendalam kehidupan dan pergelutan peninju.
Georgie Joseph

Sebuah lagi filem original terbitan HBO Asia berjudul Gensan Punch tidak harus dilepaskan pencinta filem terutamanya peminat sukan tinju.

Filem arahan Brilliante Mendoza yang sarat dengan mesej kehidupan itu mula ditayangkan di HBO Go sejak 16 Disember lalu.

Filem yang menampilkan tiga bahasa iaitu Inggeris, Jepun dan Tagalog itu menampilkan pelakon kelahiran Jepun, Shogen yang membawa watak utama selain Ronnie Lazaro, Kaho Minami, Beauty Gonzales dan Vince Rillon.

Gensan Punch bukan sekadar kisah pertarungan semata-mata sebaliknya merungkai cerita mendalam pejuang sukan tinju di Gensan, Filipina.

Ia mengenai perjalanan kehidupan dan kecekalan peninju dalam meraih kejayaan diimpikan serta mengubah nasib mereka.

Tinju adalah antara sukan yang cukup popular di Filipina.

Diinspirasi daripada kisah benar peninju Jepun, Naozumi Tsuchiyama atau Nao yang merantau dari negaranya ke Gensan, filem berkenaan turut mengetengahkan isu diskriminasi terhadap peninju kurang upaya.

Dalam temubual bersama RAP, Brilliante mengakui kewibawaannya memang tercabar sewaktu menerima tugasan itu kerana dia sendiri tidak arif langsung mengenai tinju.

"Saya tidak pernah kenal sukan tinju secara mendalam sebelum ini. Disebabkan itu, saya sebenarnya ragu-ragu pada awalnya bagaimana saya mahu lunaskan tugasan itu kerana ia di luar ilmu saya.

"Namun, cabaran itulah yang membuatkan saya lebih salurkan kerja keras untuk menghasilkan kisah terbabit. Pelbagai kajian saya lakukan termasuk pergi ke Tokyo dan Fukoka, Jepun bagi mengumpul maklumat penting untuk Gensan Punch.

"Saya menelusuri cerita setiap peninju sebenar baik di Jepun dan Gensan mengenai perjuangan mereka. Ternyata benar-benar membuka mata saya bahawa tinju bukan sekadar meraih kemenangan dalam gelanggang tapi dalam kehidupan juga," katanya.

BRILLIANTE puas hasil akhir filem itu menepati gambarannya.
BRILLIANTE puas hasil akhir filem itu menepati gambarannya.

Menurut Brilliante, daripada kajian itu jugalah dia berjaya mendapat 'hati' sebenar untuk filem terbabit. Malah, peninju sebenar digunakan dalam memastikan filem itu

lebih hidup.

"Filem ini sangat besar pengisiannya di mana perspektif hidup mengenai peninju dapat dilihat. Mereka sanggup berjuang demi mengubah nasib hidup selain pelbagai pergelutan dihadapi dalam misi perjuangan itu.

"Paling istimewa, filem ini dihidupkan dengan perlawanan tinju daripada peninju sebenar. Rata-rata aksi yang ditunjukkan memang tidak mengikut sebarang koreografi, malah sampai ada peninju hidungnya berdarah," katanya.

Sementara itu, Shogen selaku pelakon utama berkata, dia berlatih sehabis baik untuk menjadi peninju. Walaupun memenatkan dari segi fizikal, dia sangat puas apabila berjaya hidupkan watak Nao.

"Saya berlatih sebanyak lima hingga enam kali seminggu sebelum penggambaran untuk benar-benar menjadi peninju. Saya mahu rasai pertarungan sebenar apatah lagi kena berlawan dengan peninju sebenar.

"Bahagian paling sukar tentu sekali permainan emosi terutama dengan jurulatih saya dalam filem itu. Ini kerana dia membawa figura seperti bapa dan saya sendiri memang ada isu dengan bapa kandung sendiri," katanya.

BRILLIANTE Mendoza terpaksa ke Jepun cari maklumat untuk aksi terbaik Gendan Punch.
BRILLIANTE Mendoza terpaksa ke Jepun cari maklumat untuk aksi terbaik Gendan Punch.

Shogen berkata, kenangan paling diingati sepanjang penggambaran ialah apabila dia memakai prostetik pada bahagian kaki. Walaupun dia bukan orang kurang upaya dalam kehidupan sebenar, dia berjaya menyelami emosi golongan itu.

"Saya masih ingat apabila ada seseorang cuba membantu saya bergerak sewaktu di set penggambaran kerana menyangka saya memang kurang upaya. Ketika itu, timbul sedikit kemarahan dalam diri walaupun tahu niatnya baik.

"Saya rasa marah kerana sebagai golongan kurang upaya pun, tidak semestinya mereka tidak boleh lakukan sukan itu. Selama seminggu juga saya cuba sesuaikan diri untuk menggunakan prostetik itu," katanya.

Pada Oktober lalu, Gensan Punch berjaya memenangi Anugerah Kim Jiseok di Filem Festival Antarabangsa Busan ke-26.

Ia turut ditayangkan di Tokyo International ke-34 sebagai filem terpilih untuk tayangan gala.

(Penulis menemubual pengarah filem Gensan Punch, Brilliante Mendoza dan pelakon Shogen secara maya, baru-baru ini)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 6:47 AM