Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Konsert Blues Valley Jam bertemakan alam sekitar membabitkan kerjasama antara Blues Gang dan Tempatan Fest yang sepatutnya berlangsung secara dalam talian pada 28 Disember ini akan ditunda ke pertengahan Januari tahun depan.

Pengasas Tempatan Fest, Seir Rashid berkata, keputusan ini dibuat sebagai menghormati dan mengambil kira kesedihan rakyat Malaysia terhadap bencana banjir yang melanda Selangor dan Pahang serta beberapa negeri lain pada 19 Disember lalu dan masih berlarutan sehingga kini.

"Persembahan dalam talian Blues Valley Jam 2021 yang menampilkan Blues Gang dan teman-teman pemuzik lain akan ditunda ke pertengahan Januari tahun depan atau apabila suasana kecemasan dan bencana banjir ini kembali seperti biasa," katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, idea penganjuran konsert ini tercetus sempena sambutan ulang tahun ke-48 Blues Gang yang dianggotai Ito Mohd (penyanyi), Julian Mokhtar (gitar utama), Ghani Abu Talib (gitar kedua/keyboard) dan Shaik Karim (dram).

Seorang lagi anggota Blues Gang, Jim Mandasamy yang juga pemain bass meninggal dunia pada 2018. Bukan saja sebagai konsert ulang tahun, acara ini juga dianjurkan dengan harapan menjadi acara tahunan dalam menyemarakkan rasa cinta dan peduli kepada kelestarian alam sekitar.

Ia sepatutnya akan bermula pada jam 4 petang hingga 11 malam menerusi laman web www.bluesgangofficial.com.

Artis lain yang akan menjayakan konsert ini ialah Lord (The Boys), Pitahati, Sons Of Adam, Andy Flop Poppy, Zip Zieller dan Blues All Star. Tiket untuk menonton berharga RM22 .

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 8:30 PM