DR Lavanya Sivaji
DR Lavanya Sivaji
Georgie Joseph 

Kuala Lumpur: Miss World Malaysia 2021, Dr Lavanya Sivaji, 25, yang kini berada di Puerto Rico disahkan positif Covid-19 dan acara kemuncak Miss World 2021 turut ditangguhkan 90 hari.

Berita itu disahkan organisasi Miss World Malaysia yang memaklumkan wakil negara untuk pertandingan ratu cantik terbabit kini dalam proses kuarantin kendiri.

"Ujian PCR Dr Lavanya Sivaji menunjukkan dia positif Covid-19 dan kini diasingkan untuk jalani proses penyembuhan diri. Doktor sudah memeriksanya dan keadaannya baik-baik sekarang.

"Lavanya adalah antara beberapa peserta yang positif namun tetap akan dinilai meskipun tidak dibenarkan berada di pentas kelak. Panel juri akan menilai bakat unik, persembahan terdahulu, dan video prarakam untuk keputusan akhir.

"Meski hal tidak terduga begini menimpanya, harap semua mendoakan kesembuhan dia serta peserta lain. Dia sudah tunjukkan daya juang serta semangat luar biasa sejak tiba di Puerto Rico," demikian kenyataan rasmi itu baru-baru ini.

Sejurus pengumuman terdapat peserta dan kru positif, organisasi Miss World kemudian mengesahkan pertandingan itu ditunda selama tiga bulan sebelum acara pemahkotaan dilakukan.

"Selepas mesyuarat dibuat bersama ahli virologi dan pakar perubatan, keputusan dibuat penganjur untuk menunda acara akhirnya di Puerto Rico Collesium Jose Miguel Agrelot. Ia akan diadakan selepas 90 hari nanti," demikian kenyataan itu.

Acara kemuncak menobatkan pemenang Miss World 2021 sepatutnya berlangsung semalam. Bagaimanapun, jangkitan Covid-19 dalam kalangan peserta dan kru acara dikhabarkan semakin membimbangkan.

Selain Lavanya, peserta lain yang positif termasuk wakil India dan Indonesia. Penganjur turut mengalami kerugian sangat besar selepas persiapan acara kemuncak sudah dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 2:13 PM