Bob Yusof
Bob Yusof
Zaara Talita 


Kuala Lumpur:  Guru vokal dan penyanyi, Bob Yusof, 40 mengakui terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilancarkan sejak tahun lalu bagi menangani penularan Covid-19. 

Bob berkata apa yang sudah dilaluinya menjadi pengalaman dan pelajaran paling berharga sepanjang dia aktif bergelar anak seni.

Meskipun perit melaluinya, Bob tetap bersyukur kerana pengalaman itu dihadapi dengan hati terbuka meskipun ada kala terasa 'sesak' untuk mencari pendapatan dalam fasa berkenaan.

 

"Saya percaya ramai yang terkesan dengan apa sudah dilalui. Ada yang hilang pekerjaan, mengalami tekanan perasaan dan ada juga rumah tangga bergoncang kerana hilang pendapatan dan sebagainya.

 

"Tapi saya bersyukur kerana dapat juga melalui fasa getir itu dan tidak terperangkap dengan emosi sendiri. Harapnya dengan keadaan semasa yang semakin baik sekarang, semua orang mampu membina semula kehidupan yang lebih  baik," katanya.

Bob menjelaskan, perkara yang paling diingati apabila dia tidak dapat pulang beraya di kampung halamannya di Limbang, Sarawak sejak dua tahun lalu serta tidak dapat menziarahi pusara ibunya dalam tempoh berkenaan.

 

"Baru-baru ini, saya ada pulang ke kampung di Limbang tapi masih tidak dapat ke pusara ibu memandangkan belum dibenarkan menziarah kerana kawasan perkuburan itu menjadi pusara untuk mangsa Covid-19.

"Saya memang  sedih tapi reda dengan keadaan berkenaan. Tak apalah, saya kirimkan saja doa bagi mengubat kerinduan yang tak berpenghujung ini," katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya pula, Bob tampil dengan single berjudul Beribu Rasa yang mula dimuat naik hari ini dan sudah berada di semua platform digital.  Malah, muzik video pula boleh ditonton sejak 3 Disember lalu di YouTube Bob Yusof Channel.

 

Lagu yang dicipta oleh Ajai dan lirik oleh Slen Fadzil itu adalah simbolik kepada dirinya yang berjaya melepasi segala kekalutan selepas mengharungi tempoh sukar akibat PKP sebelum ini.

 

"Kita tidak boleh bersedih dan kena bangkit daripada segala masalah. Saya anggap dengan terhasilnya lagu Beribu Rasa ini akan mengubat rindu peminat dan dalam masa sama menjadi semangat kepada saya untuk terus maju dalam bidang seni.

"Sebenarnya tema yang dipilih juga kena dengan situasi semasa. Ada segelintir lelaki putus cinta dan ditinggal kekasih tapi, masih juga mahukan orang yang sama. Itu yang turut diangkat dalam lagu ini," jelasnya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 8:08 PM