IRMA Hasmie ketika melayani kanak-kanak pelarian Syria.
IRMA Hasmie ketika melayani kanak-kanak pelarian Syria.
Georgie Joseph 

Kuala Lumpur: Pelakon Irma Hasmie, 39, berkongsi pengalamannya menyantuni pelarian Syria di Turki tidak lama dulu, cukup mengajar dirinya erti kecekalan, keinsafan, dan lebih bersyukur.

Irma yang juga antara Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia berkata, hatinya amat tersentuh melihat sendiri bagaimana mereka (pelarian) menjalani kehidupan meskipun dicengkam cuaca sejuk terutama kanak-kanak.

"Peperangan yang melanda Syria merampas momen indah mereka. Bagi kanak-kanak yang tinggal di kem pelarian, keadaan mereka sangat sukar dan serba kekurangan. Apabila musim salji, keinginan untuk bermain tetap ada.

"Dengan baju nipis, kadangkala tidak berstokin dan kasut, mereka tetap keluar dari khemah. Apabila salji cair, air bertakung, anak-anak ini akan bermain di kawasan lopak air tersebut. Kaki yang terendam dalam air sejuk tidak dihiraukan.

"Kesannya, ada yang menderita sakit melecur kulit atau 'frostbite' dan ada juga yang terkena serangan hipotermia. Realiti penderitaan yang mereka lalui ini boleh kita baca dan lihat sendiri menerusi laporan media," katanya.

Menurut Irma, selain di kem pelarian, penduduk Syria yang tinggal di negara-negara jiran seperti yang ditemuinya di Turki turut berdepan masalah kekurangan makanan dan ketiadaan kelengkapan barangan keperluan musim sejuk.

"Kami pergi ke sana untuk membantu mereka dengan mengedarkan baucar belian keperluan musim sejuk tetapi sebenarnya saya merasakan mereka yang banyak membantu saya dari sudut ibrah dan pengisian rohani.

"Melihat kesabaran mereka berdepan ujian membuatkan saya rasa benar-benar insaf. Kecekalan mereka meneruskan kelangsungan hidup membuatkan saya sentiasa bersyukur atas segala nikmat dimiliki selain menyuntik semangat untuk terus istiqamah membantu mereka serta terbabit dalam misi kemanusiaan," katanya.

Melihat realiti kesengsaraan dialami penduduk Syria, Islamic Relief Malaysia terus proaktif menjalankan kempen Rayuan Musim Sejuk. Ia bagi membantu mereka yang terjejas dengan menyasarkan kutipan dana sebanyak RM300,000 bermula 1 November hingga 31 Disember ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang kepada akaun Islamic Relief Malaysia iaitu 5621-4270-8704 (Maybank), 8602-0738-18 (CIMB Islamic) atau 1202-9010-0656-43 (Bank Islam) dengan kod rujukan iaitu Rayuan Musim Sejuk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:30 PM