Zizi Kirana dan suami, Yusuf Bahrin.
Zizi Kirana dan suami, Yusuf Bahrin.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Zizi Kirana menjelaskan dirinya tidak layak menerima pujian menggunung daripada orang ramai yang memuji penampilannya ketika bercuti dengan suami, Yusuf Bahrin di Semporna, Sabah. 

Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizie

Mad Tahil, 36, berkata, sehingga kini dia masih belajar menjadi muslim yang lebih baik dan mengharapkan doa peminat untuk dirinya kekal istiqamah. 

"Rasanya saya tidak layak menerima pujian daripada orang ramai. Namun, saya amat menghargai segala doa yang dikirimkan. Saya juga berdoa agar kalian yang sedang belajar menjadi hamba terbaik agar dipermudahkan segala urusan. 

"Ayuh sama-sama kita belajar secara perlahan-lahan demi mencari reda Ilahi. Saya sebenarnya segan orang puji hanya kerana pakai stokin, berpakaian labuh pergi pantai. 

"Apapun segala pujian kita balikkan kepada Allah, sebab Dia yang bagi kita hidayah. Dia yang berkuasa ke atas seluruh makhluk dan ciptaan-Nya," katanya. 

Menurut Zizi, ramai juga dalam kalangan peminatnya yang meminta tips untuk kekal istiqamah selepas dia memuat naik video berpakaian menutup aurat ketika bercuti di Instagram. 

"Saya tak tahu nak menjawab pertanyaan ini. Tapi sama-samalah kita berubah ke arah yang lebih positif. Kita belajar sama-sama. Jangan fikir soal lambat atau cepat, yang penting kita kena belajar untuk berubah dan berusaha nak jadi muslim yang lebih baik dari semalam," katanya. 

Zizi berkahwin dengan pelakon Yusuf Bahrin, 29, pada 19 September lalu selepas dua bulan berkenalan ketika bersama-sama terlibat dalam program All Together Now Malaysia.

Terdahulu, satu perkongsian video romantis Zizi dan suaminya bercuti ke Semporna, Sabah meraih perhatian peminat. Ramai memuji penampilan Zizi yang dilihat kekal menjaga aurat iaitu berstokin serta berpakaian labuh di persisir pantai 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 4:06 PM