ZIZI Kirana bersama suaminya, Yusuf Bahrin.
ZIZI Kirana bersama suaminya, Yusuf Bahrin.
Norhayati Nordin
norhayati_nordin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penyanyi Zizi Kirana, 36, yang dimasukkan ke hospital akibat kekurangan darah, baru-baru ini semakin pulih.

Suaminya yang juga pelakon, Yusuf Bahrin, 29, berkata, buat masa ini Zizi perlu berehat sepenuhnya di rumah.

Yusuf berkata, dia bersyukur kepada Allah SWT dan Zizi akan aktif bekerja semula pada Januari, tahun depan.

"Alhamdulillah, keadaan kesihatan Zizi semakin pulih. Doktor nasihatkan Zizi berehat di rumah selama lebih kurang sebulan untuk dia betul-betul sihat seperti biasa sebelum mula bekerja nanti.

"Insya-Allah, Zizi akan mula bekerja semula pada Januari tahun depan. Terima kasih doakan Zizi dan insya-Allah agar semuanya dipermudahkan," katanya kepada Harian Metro.

Zizi yang popular dengan lagu Eh! dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya pada 9 November lalu selama tujuh hari akibat kekurangan darah.

Zizi dibenarkan keluar hospital pada 16 November dan selama dirawat di hospital, Yusuf menjaganya sepenuh masa.

Pada 13 November lalu, Zizi yang sepatutnya membuat persembahan di malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH34) bersama Fauziah Latiff terpaksa menarik diri di saat akhir.

Dalam temubual sebelum ini, Yusuf memaklumkan Zizi pada awalnya mengadu lemah dan mengah serta loya-loya hingga dia dibawa ke klinik untuk pemeriksaan sebelum dibawa ke hospital.

Yusuf dan Zizi mendirikan rumah tangga pada 18 September lalu selepas mengikat pertunangan pada 29 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 8:08 PM