Zizi Kirana bersama suaminya, Yusof Bahrin.
Zizi Kirana bersama suaminya, Yusof Bahrin.
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Zizi Kirana dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya selepas mengalami kekurangan darah sejak lima hari lalu.

Suami penyanyi itu, Yusof Bahrin ketika dihubungi memaklumkan keadaan kesihatan Zizi semakin stabil.

"Sudah lima hari Zizi ditahan di hospital. Pada awalnya, dia mengadu lemah dan mengah serta loya-loya. Saya bawa ke klinik untuk pemeriksaan. 

"Tak sangka pula dia mengalami kekurangan darah dan seterusnya dibawa ke hospital. Sekarang, keadaannya stabil, cuma pernafasannya masih agak lemah dan tak boleh banyak bergerak," katanya kepada Harian Metro. 

Pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu juga memaklumkan bahawa isterinya terpaksa menarik diri daripada membuat persembahan pada Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH34) yang akan berlangsung malam ini. 

"Atas faktor kesihatan, doktor menasihatkan Zizi supaya berehat buat sementara waktu dan kerana itu, dia terpaksa menarik diri daripada membuat persembahan di ABPBH34 pada malam ini," katanya. 

Dalam masa sama, Yusof memaklumkan Zizi masih perlu melalui proses memasukkan darah. 

"Doktor maklumkan, perlu masukkan dua beg darah dan untuk habiskan satu beg darah pun memakan masa yang agak lama. Jadi, saya tak pasti bila doktor akan benarkan dia pulang," katanya. 

Zizi sepatutnya membuat persembahan pada malam ini bergandingan bersama penyanyi, Fauziah Latiff. Kerana masalah kesihatan, tempat Zizi akan digantikan oleh Wani Kayrie. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 5:10 PM