Din CJ
Din CJ
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Siapa layan filem Budak Kripto memang tak ada 'taste' ke?"

"Kalau nak tengok Budak Kripto, baik beli cetak rompak punya."

"Filem dari Uganda lebih baik daripada Budak Kripto,"

Ini antara reaksi segelintir netizen di media sosial yang menghentam dan 'menghina' filem terbaru berjudul Budak Kripto.

Pengarahnya, Din CJ berkata, dia tidak marah dan menerima sebarang kritikan dengan hati terbuka.

Bagaimanapun, dia menasihatkan netizen supaya tidak menghina sehingga melabelkan sesuatu karya filem sebagai sampah dalam melontarkan kritikan.

"Saya terbuka untuk mendengar sebarang kritikan daripada netizen mengenai karya-karya filem tempatan. "Namun, dalam pada memberi kritikan, janganlah sampai mengutuk, menghina dan melabelkan sesuatu karya itu sebagai 'sampah' kerana ia adalah hasil kerja keras banyak pihak," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Din, filem yang mula ditayangkan hari ini di pawagam seluruh negara sudah tular di media sosial kerana beberapa isu.

"Sebelum sempat ditayangkan pun, filem ini sudah mula tular dan diperkatakan dari beberapa sudut antaranya poster filem.

"Netizen berhak untuk berkata apa saja. Apa pun, saya ucapkan terima kasih kerana ia umpama menjadi satu pemasaran percuma untuk Budak Kripto," katanya.

Budak Kripto membariskan dua bakat baru sebagai bintang utama iaitu Zam Azmi dan Nurul Hida di samping pelakon lain antaranya Allahyarham Mamat Mamat Khalid, mendiang Acappan, A Galak, Liza Abdullah dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 3:16 PM