Marsila Hassan.
Marsila Hassan.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pembaca berita popular TV3 Marsila Hassan, 32, mengakui bersyukur rezekinya kini semakin bertambah.

Marsila yang bekerja secara kontrak berkata, dia kini ditawarkan berlakon, selain turut melebarkan langkah dalam bidang pengacaraan dan moderator program.

"Baru-baru ini saya tampil berlakon secara 'cameo' dalam drama berjudul Mr Millennium terbitan MIG untuk TV3.

"Saya bawa watak sebagai pengacara dalam drama yang dibintangi oleh Aqasha itu dan penggambaran pun hanya sehari saja.

"Cukuplah dengan watak sebegini saja sebab saya tak boleh serius dalam lakonan kerana tiada kesabaran nak tunggu lama di lokasi," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai pengacaraan, Marsila baru-baru ini bertindak sebagai moderator untuk program Rakan Muda Live! Mai Sembang dibawah Kementerian Belia Dan Sukan (KBS).

"Okeylah kerana ia sebuah program borak santai. Selepas itu, saya dapat tawaran mengacara majlis makan malam pula.

"InsyaAllah, untuk program Rakan Muda yang lain selepas ini pun saya akan diberi peluang sebagai moderator.

"Alhamdulillah, kiranya murah rezeki saya sekarang. Kalau sebelum ini dengan bekas suami, saya jarang ambil 'job', tapi memandangkan kini kena berdikari, saya dah mula ambil tawaran mengacara," katanya.

Marsila sebelum ini berkahwin dengan Fazli Baharom, pemilik produksi Radius One pada 4 September 2015 dan bercerai pada 23 Mei lalu.

Ditanya berkenaan pengganti, Marsila berkata, dia menanti individu yang betul-betul boleh menerima dia seadanya.

"Bukannya saya kata yang dulu tak terima seadanya. Dia terima tapi, mungkin ada beberapa kekurangan saya yang kami tak boleh lengkapi bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 12:17 PM