ERMA Fatima.
ERMA Fatima.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penerbit dan pelakon, Erma Fatima tidak menafikan bahawa kos untuk ujian air kencing terhadap pelakon dan kru produksi akan membebankan syarikat produksi sendiri.

Erma berkata, kos itu tidak termasuk dalam bayaran daripada stesen TV yang mana bayarannya tidak pernah berubah sejak bertahun-tahun lalu.

"Tahu tak berapa stesen TV bayar syarikat produksi? Sejak bertahun-tahun lalu, harganya tak pernah berubah sampailah ke hari ini.

"Apa yang boleh saya katakan, kos yang perlu dikeluarkan oleh syarikat produksi untuk menjalankan ujian air kencing terhadap pelakon dan kru produksi adalah sesuatu yang membebankan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Erma, isu penyalahgunaan dadah di lokasi penggambaran bukanlah isu baharu, namun tidak ada tindakan tegas yang diambil.

"Dadah ini sudah berpuluh tahun kita dengar, tapi tak ada apa-apa tindakan daripada pihak berkuasa terhadap industri ini dan tak ada tindakan daripada orang-orang yang berperanan dalam industri ini sendiri untuk menyelesaikannya.

"Isu ganja, 'batu' dan sebagainya di set, kita memang dah biasa dengar. Hanya beberapa penerbit saja yang benar-benar teliti dan mengambil sikap tegas dengan menghentikan mereka yang terbabit daripada terus bekerja," katanya.

Menurutnya, dia sendiri sentiasa memberi amaran keras kepada setiap pekerja di lokasi penggambaran membabitkan syarikatnya.

"Sebelum penggambaran bermula, saya akan beri amaran. Kalau nak 'hisap', jangan sampai saya tahu. Kalau di rumah, lantaklah, tapi jangan di lokasi."Lokasi penggambaran bukan tempat untuk parti 'hisap' dadah. Jangan menyusahkan orang lain," katanya.

Erma berkata, itu tidak dikira lagi dengan kos yang perlu dikeluarkan untuk ujian RTK Covid-19 yang perlu dikeluarkan.

"Memanglah orang cakap, harga kit ujian kendiri itu tidak mahal, tapi bayangkan, kalau satu hari ada 20 pekerja di lokasi termasuk lima pelakon.

"Keesokannya, pelakon-pelakon lain pula masuk ke lokasi penggambaran. Jadi, di situ harganya sudah berapa kalau dikira. Bagaimanapun, saya sendiri sudah membeli berkarton-karton set RTK untuk memudahkan urusan penggambaran dan ujian kepada pekerja-pekerja," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan mengenai penerbit dan pengarah, Michael Ang bersetuju sekiranya dapat dilakukan ujian air kencing kepada pelakon dan kru produksi sebelum dibenarkan masuk ke lokasi penggambaran bagi memastikan mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Michael berkata, tindakan itu dilihatnya sebagai inisiatif bagi membendung berlaku situasi kurang sihat membabitkan penggiat seni dan pekerja industri yang terjebak penyalahgunaan dadah seperti berlaku sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 5:17 PM