MICHAEL Ang. FOTO ihsan IG
MICHAEL Ang. FOTO ihsan IG
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah, Michael Ang bersetuju sekiranya dapat dilakukan ujian air kencing kepada pelakon dan kru produksi sebelum dibenarkan masuk ke set penggambaran bagi memastikan mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Michael berkata tindakan itu dilihatnya sebagai inisiatif bagi membendung berlaku situasi kurang sihat membabitkan penggiat seni dan pekerja industri yang terjebak penyalahgunaan dadah seperti berlaku sebelum ini.

"Sebenarnya soal berkaitan dadah ini memang saya pantang. Saya sendiri dah beritahu semua orang di set 'shooting' yang saya tak mahu ambil tahu apa mereka buat di luar dan kehidupan peribadi. Nak ambil dadah ke, ambil 'ais' ke, air laut ke, itu mereka punya hal.

"Janji apabila datang ke set 'shooting' saya bekerja, jangan buat benda itu semua (ambil dadah). Saya tak boleh nak 'control' kehidupan mereka sebab bukan hak saya. Tapi, bila datang ke set penggambaran perlu hormat orang lain.

"Sebab kena faham, kalau kau seorang yang kena tangkap tetap terkait dengan periuk nasi orang lain. Ditambah, masyarakat luar akan kaitkan dengan satu produksi termasuk orang tak bersalah pun dilabel 'ambil dadah' juga. Jadi, saya memang setuju kalau ujian air kencing dibuat," katanya.

Michael berkata tidak hanya membabitkan penyalahgunan dadah yang perlu diambil kira, namun dia juga tegas dengan perihal pengambilan vaksin Covid-19 pada semua pelakon dan pekerja di dalam produksinya. 

"Bagi mereka yang bekerja dengan produksi saya akan turut diperiksa maklumat daripada My Sejahtera masing-masing sebelum masuk ke set penggambaran bagi memastikan sudah lengkap dua dos vaksin kerana saya tak mahu berlaku penipuan sijil. Sebagai penerbit, saya harus telus dan bertanggungjawab.

"Keselamatan semua pasukan produksi memang dijaga kerana saya menempatkan mereka di satu tempat yang dipanggil 'gelombang shooting'. Mereka  tidak bercampur gaul dengan orang luar dan pergerakan membabitkan pasukan saja," katanya.

Kini, produksi Michael sibuk menyiapkan penggambaran drama Sihir yang mempunyai 20 episod dan akan mula disiarkan di Astro Ria pada 1 November ini, jam 11 malam.

Terdahulu, Michael ditemui media pada majlis sidang media virtual sempena drama Sihir itu yang dibintangi pelakon Kamal Adli dan Hun Haqeem sebagai watak utama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 1:24 PM