HERMAN Tino.
HERMAN Tino.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Banting: Penyanyi legenda yang sinonim dengan lagu Melayu Deli, Herman Tino tidak kisah sekiranya dia dilupakan atau dipinggirkan peminat industri seni tanah air.

Herman, 67, atau nama sebenarnya Masrun Tamisi berkata, Allah sudah memberikan banyak nikmat kepadanya sebelum ini dan dia bersyukur dengan apa yang ada.

"Allah dah bagi saya terkenal. Allah dah bagi kehidupan yang cantik kepada saya. Jadi saya bersyukur dengan semuanya dan malu nak meminta lagi.

"Sama ada saya ada darjat lagi (dihormati) atau tidak, saya sangat bersyukur. Saya tak kisah untuk saya dilupakan dan saya tak kisah tak diambil tahu pun oleh masyarakat.

"Saya tak minta balasan apa-apa dan hanya sekadar menyanyi. Kalau Allah jadikan dua tahun tanpa menyanyi, saya cuma rindu saja tapi saya tak menagih banyak kerana ini qada dan qadar," katanya ketika ditemui ketika menjayakan program Wow! Keroncong Selangor 2021 di sini, baru-baru ini.

Ia adalah kemunculan pertama Herman selepas hampir dua tahun berehat akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.

Penyanyi yang popular dengan pelbagai lagu antaranya Derma Bukan Tontonan ini berkata, dia reda sekiranya ada pengganti yang lebih baik menggantikan tempatnya.

"Kalau ada yang baru datang dengan kualiti yang bagus sebagai ganti, maka singkirkanlah saya. Kita perlukan pengganti dalam industri muzik.

"Berkenaan album baharu, saya tak minta banyak kerana malu dengan Allah. Dia dah bagi macam-macam, nama, populariti dan lagu yang elok-elok. Tapi kalau Allah bagi darjat saya ada lagi, saya cubalah. Kalau Dia tak bagi pun saya reda," katanya.

Menurutnya, dia sememangnya mempunyai koleksi lagu baharu, namun perasaannya bercampur baur untuk menerbitkannya.

"Dalam hati ada pelbagai perasaan. Adakah saya masih lagi dihormati dan masih lagi orang nak ambil tahu. Penat saja buat album atau lagu kalau orang tak ambil tahu. Konsep lagu saya masih sama tapi temanya tiada percintaan.

"Saya tak suka percintaan tema percintaan dan lebih kepada motivasi untuk mendidik masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 1:55 PM