Delimawati
Delimawati
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Dalimawati Ismail meluahkan rasa ralat kerana tidak dapat memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham pengarah Mamat Khalid yang meninggal dunia, semalam.

Dalimawati berkata, dia benar-benar terkilan apatah lagi akrab dengan keluarga Allahyarham.

"Saya betul-betul rasa bersalah. Niat hati memang nak sangat hantar dia sampai ke 'rumah' abadinya. Saya dapat khabar sedih ini dalam jam 2.30 pagi menerusi rakan-rakan. Kemudian saya menelefon balu arwah dan juga kru produksi bagi membuat kepastian mengenai berita kematian itu. Saya ingin mengajak anak menemankan saya namun dia pula sedang hamil.

"Manakala kebanyakan rakan lain pula tinggal berjauhan. Pada mulanya saya rasa tidak sempat hendak ke Ipoh, Perak kerana arwah dikebumikan pada jam 11 pagi. Namun, saya terima berita arwah dikebumikan selepas waktu Zohor pula. Saya hanya dapat mengirimkan doa dari jauh saja. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Insya-Allah, saya akan ke Ipoh untuk bertemu balu arwah," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Dalimawati, kehilangan pengarah berkaliber itu sangat dirasainya lebih-lebih lagi arwah adalah insan yang menaikkan namanya menerusi filem Hantu Kak Limah beberapa tahun lalu.

"Kali terakhir kami berjumpa pun sekitar dua tahun lalu. Kami ada berbincang untuk projek dan naskhah seni seterusnya tetapi Allah lebih sayangkan dia. Setiap yang hidup pasti akan pergi juga satu hari nanti.

"Kami sudah bekerjasama sejak tahun 1980-an lagi, malah arwah juga banyak membantu saya. Daripada pelakon pembantu, saya memegang watak utama dalam Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 1:49 PM