AWIE ketika ditemui di kediaman arwah Mamat Khalid di Ipoh, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam.
AWIE ketika ditemui di kediaman arwah Mamat Khalid di Ipoh, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Dia mengajar hingga semua pelakon dapat membawa watak yang lebih baik," kata penyanyi dan pelakon terkenal, Datuk Awie mengenai Allahyarham Mamat Khalid.

Katanya, arwah kelihatan garang tetapi disifatkan sebagai pengarah, sahabat dan abang yang baik kepada semua pelakon dan krew serta seorang yang periang.

"Dia penghibur di kala ada orang yang bermasalah di lokasi dan pada masa sama dia juga mengajar hingga semua pelakon dapat membawa watak yang lebih baik.

"Dia yang membawa saya hingga kekal sebagai watak Husin dan sehingga ke akhir arwah memanggil saya dengan watak itu," katanya ketika ditemui selepas menziarahi jenazah Mamat Khalid di kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di sini, hari ini.

Awie mengakui tidak dapat menahan kesedihan di atas kehilangan penerbit dan pengarah terkenal itu.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan Mamat Khalid ialah pada tayangan Kampung Pisang Muzikal.

Menurutnya, dia menerima dua panggilan telefon daripada rakannya dari Perak namun tidak sempat menjawab kerana sedang menjalani penggambaran sebelum mendapat berita kematian Mamat Khalid.

"Apabila dihubungi rakan dari Perak, saya mula tidak sedap hati dan apabila diberitahu abang Mamat sudah tiada, luruh hati saya, pergi lagi seorang sahabat saya, abang saya," katanya

Katanya, beberapa minggu lalu, arwah ada menghantar mesej di aplikasi Whatsapp.

"Love you bro, cepat-cepat sembuh'. Dia tidak pernah hantar mesej begitu dengan saya sebelum ini dan kalau bergurau pun kasar, tetapi kemudiannya dia turut bertanya khabar," katanya.

Sementara itu, Pekin Ibrahim turut meluahkan rasa kehilangan seseorang yang memberi ruang dan antara insan yang mengangkatnya dalam industri seni.

"Kami rapat macam ayah sendiri dan sangat terasa kehilangannya. Dia antara orang yang terawal ambil saya berlakon," katanya sebak.

Katanya, arwah kali terakhir berhubung dengannya melalui aplikasi WhatsApp minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 2:14 PM