Sharnaaz Ahmad
Sharnaaz Ahmad

Kuala Lumpur: Pelakon Sharnaaz Ahmad secara berseloroh 'melantik' diri sendiri sebagai Presiden Kelab Duda Terlajak Konar.

Ia selepas pelakon Fizo Omar, 36, berkahwin dengan Fazeera Nazri Azrai, 25, sekali gus menyaksikan dia meninggalkan status duda, kelmarin.

Sharnaaz, 36, menerusi hantaran di Instagram Story turut mengucapkan tahniah kepada rakannya itu.

"Bye bye Fizo Omar. Secara rasminya aku melantik diri aku sebagai Presiden Kelab Duda Terlajak Konar. Tahniah boh, Fizo Omar," katanya.

Menerusi hantaran sama, Sharnaaz yang juga bapa tunggal anak satu turut menamakan pelakon Nazim Othman dan Azlee Khairi yang kedua-duanya juga berstatus duda sebagai ahli Majlis Tertinggi kelab itu.

Bagaimanapun, kelab itu adalah sekadar gurauan bagi mengusik rakan artis yang masih menduda.

Terdahulu, Fizo memuat naik hantaran gambar berpakaian baju Melayu Putih meletakkan keterangan 'Ok abe Joe (abang Fizo) left group recond (tinggalkan kumpulan 'terpakai') dulu ok. Apa-apa roger ok.'

Dalam hantaran itu, Fizo turut memetik nama Sharnaaz, Nazim dan Azlee.

Sharnaaz dan isterinya yang juga ahli perniagaan, Noor Nabila bercerai pada 9 Julai tahun lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 2:22 PM