Mawar Karim bersama Ashraf Muslim.
Mawar Karim bersama Ashraf Muslim.

Kuala Lumpur: Tindakan usahawan Mawar Karim, 32, memuat naik gambar dia bersama pelakon Ashraf Muslim, 40, di Makkah mengundang pelbagai komen dan reaksi pengikutnya di Instagram.

Walaupun dia sudah meletakkan keterangan gambar dalam bahasa Arab, 'ana la thlatha' yang bermaksud 'saya bukan yang ketiga', nampaknya ada yang masih berburuk sangka menerusi komennya.

'Saya bukan yang ketiga' itu juga bagi merujuk dia bukanlah isteri ketiga Ashraf yang kini beristeri dua.

Mawar yang juga bekas isteri pelakon, Fizo Omar itu turut menjawab satu komen mempersoalkan kenapa dia bergambar dengan Ashraf yang juga suami orang.

"Ada tuliskah dosa atau kesalahan saya muat naik gambar ini?" balasnya.

Difahamkan, dia dan Ashraf yang ketika ini menunaikan umrah di Makkah terserempak di sana.

Dalam pada itu, ramai juga yang mendoakan agar ibadah Mawar dipermudahkan.

Malah, mereka turut mendoakan dia pula bertemu jodoh selepas Fizo melangsungkan pernikahan, kelmarin.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Fizo, 36 melangsungkan pernikahan dengan bekas pramugari, Fazeera Nazri Azrai, 25, dalam majlis tertutup di Bidaisari Resort, Janda Baik, Pahang.

Mawar dan Fizo pernah mendirikan rumah tangga pada November 2013 namun bercerai pada 10 Julai 2019.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Wan Maryam yang kini berusia empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 12:12 PM