GAMBAR yang dimuat naik Fizo ke Instagram Storynya. FOTO INSTAGRAM FIZO OMAR
GAMBAR yang dimuat naik Fizo ke Instagram Storynya. FOTO INSTAGRAM FIZO OMAR
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Tindakan pelakon, Fizo Omar, 36, memuat naik gambar dia lengkap berbaju Melayu putih bersama anaknya, Wan Maryam, 4, di Instagram seolah-olah mengesahkan desas-desus dia sudah melangsungkan pernikahan, malam tadi.

Fizo yang memuat naik gambar itu di Instagram Story kira-kira jam 10 malam tadi turut meletakkan keterangan pada gambar, 'Ok abe Joe (abang Fizo) left group recond (tinggalkan kumpulan 'terpakai') dulu ok. Apa-apa roger ok.'

Dalam hantaran sama, Fizo turut memetik nama tiga rakan artis iaitu Sharnaaz Ahmad, Nazim Othman dan Azlee Khairi yang masing-masing berstatus duda.

Walaupun tidak mengesahkan mengenai pernikahan itu, namun Fizo dikihat memberi bayangan yang dia sudah 'meninggalkan' status duda.

Berdasarkan komen di Instagram, Fizo dikatakan bernikah dengan wanita yang juga bekas pramugari dari Sarawak dan majlis pernikahan dipercayai berlangsung di Janda Baik, Pahang.

Sementara itu, ruangan komen perkongsian berkenaan turut dibanjiri dengan ucapan tahniah daripada netizen dan rakan artis yang tumpang gembira dengan berita baik itu.

"Untunglah dah ada pembeli. Aku versi kereta 'recond' yang hanya dipamerkan di bilik pameran saja," tulis Nazim di ruangan komen.

"Syukur Alhamdulillah…Allah ketemu jodoh. Semoga berkekalan hingga ke Jannah," komen netizen.

"Tahniah akhirnya abe Joe kahwin juga. Selamat pengantin baru. Semoga berbahagia selalu," komen seorang lagi netizen.

Dalam tempoh empat jam selepas dimuat baik, hantaran itu menerima lebih 50,000 likes dan lebih 500 komen yang rata-ratanya mengucapkan tahniah kepada Fizo.

Bagaimanapun, cubaan Harian Metro menghubungi Fizo dan pengurusnya bagi mendapatkan pengesahan tidak berjaya apabila mereka tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.

Desas-desus mengatakan Fizo bakal bernikah menjadi perbualan ramai selepas terdapat sumber yang mendedahkan pelakon itu sibuk dengan persiapan pernikahannya sejak beberapa minggu lalu.

Fizo pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mawar Karim pada November 2013 dan dikurniakan anak perempuan, Wan Maryam.

Bagaimanapun, mereka bercerai pada Julai 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 12:44 AM