Kumpulan Masdo.
Kumpulan Masdo.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Kumpulan Kugiran Masdo meminta maaf kepada peminat bawah umur 18 tahun yang sudah membeli tiket untuk menyaksikan persembahan Temasya Buka Panggung di PJPac pada 13 dan 14 November ini.

Penyanyinya Ali Sariah berkata, ia berikutan salah faham berkenaan had umur kebenaran menonton yang ditetapkan.

"Awalnya kami ingat semua golongan umur boleh menonton. Tapi, kami diberitahu oleh pihak lokasi berkenaan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu hanya mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan lengkap dua dos vaksin saja boleh hadir.

"Jadi dari situ, apabila ada peminat umur bawah 18 tahun dah beli tiket, kami terpaksa minta mereka hubungi pengurus Masdo untuk tindakan lanjut.

"Kami buat kumpulan 'WhatsApp' dan cuba berbincang sama ada untuk pulangkan wang semula atau mereka beli terus. Kiranya, ini situasi menang-menang untuk kedua belah pihak.

"Sekurang-kurangnya, tidaklah mereka rasa rugi beli kerana kita pun tak sangka benda sebegini akan terjadi," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas sambutan peminat, Ali berkata tiket untuk persembahan pada 13 November, jam 8 malam sudah hampir habis dijual.

"Kini, kami berharap tiket untuk persembahan pada 14 November, jam 4 petang akan laris terjual sepertimana hari sebelumnya. Jumlah penonton yang dibenarkan pula sekitar 300 orang saja.

"Sejujurnya kami rasa rugi juga, tapi kenalah ikut SOP untuk kesenangan semua. Kami takut terjadi apa-apa nanti dan tak nak ambil risiko yang terlalu besar. Jadi, lebih baik ikut saja syarat yang ditetapkan.

"Masdo memang teruja untuk buat 'show' ini selepas hampir dua tahun tidak beraksi. Bila dah boleh buat persembahan, memang kami nak beri sehabis baik untuk peminat yang sekian lama rindukan menonton 'live' show," katanya.

Ali berkata, agak merugikan apabila kapasiti PJPac yang boleh memuatkan ramai peminat tidak dapat digunakan sepenuhnya berikutan perlu mengikut SOP.

"Secara tak langsung bila hanya 50 peratus kehadiran penonton dibenarkan, kami terpaksa jual tiket mahal untuk pembiayaan semula kos dikeluarkan.

"Sebenarnya amat berisiko juga nak jual tiket mahal pun, ini kerana kita kena fikirkan situasi negara yang tengah pandemik dan kebanyakan orang berhadapan masalah duit.

"Tapi, syukur alhamdulillah kerana nampaknya masih ada orang yang sanggup beli tiket dari harga RM50 hingga RM150 ditetapkan untuk 'show' Masdo ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 8:49 PM