Najwa Latif.
Najwa Latif.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Najwa Latif mengakui sedang mengenali hati budi seseorang.

Bagaimanapun, Najwa belum bersedia untuk mendedahkan identiti lelaki yang sedang bertakhta di hatinya itu.

"Ya, saya sedang mengenal hati budi seseorang dan hubungan kami serius. Saya mohon maaf kerana tidak dapat berkongsi lebih lanjut kerana masih belum berkahwin dan tidak manis untuk saya kongsikan sekarang.

"Andai kata hubungan kami sudah beralih ke fasa seterusnya (pertunangan atau perkahwinan) barulah saya kongsikan kepada semua," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya adakah lelaki istimewa itu dalam kalangan selebriti, Najwa memilih untuk tidak berkongsi perkara itu.

"Semua orang berhak untuk berteka-teki tapi saya tetap dengan pendirian untuk tidak berkongsi. Bukan tidak mahu beritahu berita gembira ini tapi belum tiba waktu yang tepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 3:02 PM