Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan menyenaraihitamkan penerbit, kru produksi dan pelakon yang terbukti terbabit dalam isu penyalahgunaan dadah dan penularan kes positif Covid-19 di lokasi penggambaran di Perak, baru-baru ini.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid menerusi hantaran di Facebook berkata, jika terbukti ada kecuaian pematuhan SOP dan penyalahgunaan dadah, Finas juga akan menarik balik kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

"Penerbit yang menerima DKD (Dana Kandungan Digital) akan dibatalkan pembiayaan kerana melanggar peraturan dalam perjanjian yang dimeterai," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan berlaku jangkitan Covid-19 di satu lokasi penggambaran di Perak membabitkan tujuh orang merangkumi kru produksi dan pelakon.

Difahamkan, ada beberapa didakwa melanggar SOP sepatutnya menjalani kuarantin tetapi tetap pulang ke Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, tiga individu lelaki iaitu seorang pelakon, pengarah dan penolong pengarah ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar, Perak atas kesalahan dadah, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 3:19 PM