FILEM: Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings

PENGARAH: Destin Daniel Crelton

PENULIS SKRIP: Dave Callaham, Destin Daniel Crelton, Andrew Lanham

PELAKON: Simu Liu, Awkwafina, Meng'er Zhang, Fala Chen, Florian Munteanu, Benedict Wong, Datuk Michelle Yeoh, Beng Kingsley, Tony Leung

TERBITAN: Marvel Studios

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

JUDUL filem Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings tidak perlu lagi diperkenalkan lebih-lebih lagi kepada peminat setia filem-filem terbitan Marvel Studios.

Untuk saya, penantian untuk pawagam dibuka semula dan menayangkan filem ini juga menjadi penantian yang penuh menduga kesabaran.

Tatkala dimaklumkan mengenai kehadiran filem ini dan diundang pula untuk menonton tayangan awal, saya tanpa membuang masa terus ke pawagam dan menonton.

Dari segi jalan cerita, Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings mengisahkan mengenai Shaun yang bekerja sebagai pekerja valet parkir bersama rakannya, Katy.

Satu insiden membongkar siapa diri Shaun yang mana nama sebenarnya adalah Shang-Chi.

Disebabkan itu juga, latar belakangnya terbongkar dan dia perlu menyelamatkan adiknya yang terpisah sejak beberapa tahun lalu.

Shang-Chi dan Katy kemudiannya ke Macau dan mencari adik perempuannya, Xialing yang kini menjadi pemilik empayar kelab bawah tanah.

Xialing pada awalnya tidak dapat menerima kehadiran abangnya selepas ditinggalkan Shang-Chi ketika dia masih kanak-kanak.

Namun, selepas mereka diserang oleh orang suruhan bapa mereka iaitu Wenwu, mereka bergabung tenaga untuk menyelamatkan antara satu sama lain.

Namun, kedua-duanya gagal dan dibawa orang suruhan Wenwu ke kediamannya yang menjadi tempat Shang-Chi dan Xialing membesar.

Di situ, bapa mereka berkongsi mengenai bagaimana dia diseru suara isterinya yang sudah meninggal dunia.

Shang-Chi dan Xialing bagaimanapun tidak termakan dengan kisah yang diceritakan bapa mereka dan berusaha untuk tiba di kampung halaman ibu mereka di Ta Lo.

Di situlah berlakunya pertembungan antara Shang-Chi, Xialing dan Katy dibantu oleh penduduk Ta Lo, menentang tentera Wenwu.

Lebih menyukarkan keadaan adalah Wenwu bergantung kepada 10 gelang yang dipakai di kedua-dua belah tangannya kerana gelang-gelang itu memiliki kuasa luar biasa.

Sejujurnya, sebahagian babak-babak awal dalam filem Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings ini dilantunkan dalam dialog bahasa Mandarin membuatkan saya terfikir sama ada akan ada dua versi atau bagaimana.

Namun, apabila babak-babak dikembangkan ketika Shang-Chi berada di San Francisco, dialognya mula menggunakan Bahasa Inggeris.

Namun, saya rasakan itu sebagai satu keunikan yang ditampilkan sekali gus mengangkat latar dan asal usul watak utama itu sendiri.

Dari segi aksi, babak aksi di dalam bas di San Francisco juga sudah cukup untuk membuatkan saya rasa berdebar saat menonton.

Dengan bantuan teknik Imej Janaan Komputer (CGI) dan cara gerakan Simu yang memegang watak sebagai Shang-Chi juga berjaya menghidupkan babak itu.

Lakonan Tony Leung tidak perlu lagi diceritakan kerana tentunya bintang Hong Kong itu sudah memiliki kumpulan peminat sendiri sejak beberapa dekad lalu.

Bezanya, kali ini watak antagonisnya umpama membawa rasa yang bercelaru dalam hati saya. Sama ada saya perlu membenci dia, atau pada masa sama perlu rasa simpati kerana kehilangan isteri dan anak-anak yang menjauhkan diri.

ANTARA aksi dalam filem berkenaan.
ANTARA aksi dalam filem berkenaan.

Dapat dilihat dengan jelas bagaimana dia benar-benar percaya bahawa 'suara' yang menyerunya adalah suara mendiang isterinya dan bagaimana dia berusaha untuk menyelamatkan isteri yang disangka masih hidup.

Watak Xialing lakonan Meng'er Zhang saya rasakan seperti ada yang kurang cukup. Ini sekadar pendapat peribadi saya.

Watak Awkwafina sebagai Katy pula seperti biasa, tidak lari jauh daripada watak-watak yang pernah dibawanya sebelum ini. Ada beberapa babak aksi yang tidak terlalu berat dan tentunya ada elemen humor.

Sedikit sebanyak, Katy mengingatkan saya kepada watak Sisu dalam filem animasi Raya and the Last Dragon yang menggunakan suaranya.

Tapi, walau apa pun, saya tetap jatuh cinta dengan lakonan Awkwafina kerana sentiasa menghiburkan dan tidak pernah mengecewakan.

Selain itu, beberapa perkara yang sentiasa mencuri perhatian saya adalah bagaimana filem ini menyelitkan elemen budaya Asia dalam penceritaan mereka.

Itu sekali gus menunjukkan bagaimana prinsip, gaya hidup dan tata cara orang Asia kepada dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 6:30 AM