WANY Hasrita.
WANY Hasrita.
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pendirian penyanyi Wany Hasrita untuk tidak berkongsi identiti teman lelaki kepada umum sehingga kini bukan kerana takut 'dicaras' orang.

Wany bagaimanapun menjelaskan selagi ikatan mereka belum rasmi, dia tidak berani untuk mendedahkan gerangan individu yang sedang bertakhta di hatinya itu. 

"Tiada istilah takut dicaras kerana itu semua Allah punya kerja. Kalau ditakdirkan kena caras mungkin ada yang lebih baik untuk saya dan dia.

"Saya tiada niat nak merahsiakan identiti sebenar si dia, tapi saya banyak belajar daripada kesilapan sebelum ini yang pernah berkongsi dan muat naik foto di media sosial.

"Lagipun saya rasa untuk apa nak tayang kalau belum ada apa-apa yang rasmi. Saya pun takut nak beritahu kepada umum. 

"Apa yang saya katakan ini adalah pendapat peribadi saya kerana ada orang yang suka kongsikan momen bahagia mereka," katanya.

Menurut Wany, khabar angin yang mendakwa dirinya bakal menamatkan zaman bujang dalam waktu terdekat adalah tidak benar.

"Tiada apa yang dapat saya kongsikan waktu ini kerana belum ada apa-apa yang rasmi. Kad kahwin pun tak keluar lagi.

"Tapi kalau sudah ada tarikh rasmi saya dengan suka hati akan beritahu kepada semua. Lagipun nak buat temu janji pernikahan di pejabat agama bukan senang sebab asyik penuh saja." katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 12:06 PM