Ismail Rifqi
Ismail Rifqi
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Anak pelawak popular Shahrol Shiro iaitu Ismail Rifqi yang berusia 10 bulan selamat menjalani pembedahan akibat masalah buah pinggang kronik di pusat perubatan di Subang Jaya, hari ini.

Isterinya, Nor Farhanah Shamimi atau Anna ketika dihubungi berkata, proses pembedahan berlangsung lima jam dan bersyukur ia berjalan lancar.

"Pembedahan berlangsung dari jam jam 9.30 pagi hingga 2.30 petang. Sekarang keadaan dia pun masih 'mamai'. Namun, semuanya berjalan lancar dan dia tidak perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), cuma perlu ke wad biasa dan pakar bedah akan buat penjelasan susulan kelak," katanya.

Anna berkata, dia sedikit lega apabila pembedahan itu selesai.

Menurutnya, sebelum ini hatinya tidak tenteram kerana terlalu bimbangkan Ismail.

"Bermula dari hantar Ismail ke bilik pembedahan, hati rasa sayu, gelisah dan serba-serbi tak kena. Nak rehatkan diri tapi kepala fikirkan ismail.

"Sekarang sudah tahu semua selamat, alhamdulillah hati rasa tenang. Cuma nak kena jaga dia lebih rapi sebab dia akan rasa sedikit sakit di bahagian dibedah," katanya.

Anna berkata, Shahrol tidak dapat menemaninya disebabkan prosedur Covid-19.

Namun, pelawak itu setia menanti dalam kereta di luar hospital sepanjang pembedahan itu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Anna meluahkan hatinya luluh apabila terpaksa melihat bayinya yang masih kecil menderita masalah buah pinggang kronik.

Menurutnya, kos pembedahan itu dianggarkan sekitar RM40,000 hingga RM45,000 dan ia dilakukan di hospital terbabit kerana ada doktor pakar buah pinggang kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 4:43 PM