ANZALNA Nasir dan Farah Nabilah.
ANZALNA Nasir dan Farah Nabilah.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


NR atau dikenali sebagai Nona Roguy sebelum ini adalah pelopor industri herba negara dan sudah menerajui industri herba negara lebih 30 tahun di pasaran.

NR buat julung kalinya melancarkan program amal NR4FRIDAYS bersama rakan-rakan strategik dengan objektif menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan buat petugas barisan hadapan yang banyak berkorban masa, tenaga dan komitmen menyumbang bakti buat negara dalam menangani wabak Covid-19.

NR4FRIDAYS juga berinspirasi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat umum mengenai pentingnya menjaga kesihatan dalaman dan luaran semasa negara melalui fasa pemulihan pandemik Covid-19.

NR4FRIDAYS adalah inisiatif yang bukan bersifat keuntungan dan akan memfokuskan kepada empat siri sumbangan makanan atau keperluan asas untuk petugas barisan hadapan dan empat siri sesi siaran langsung di Instagram IG Live Amal bersama Rakan Selebriti NR.

NR4FRIDAYS digunakan sebagai tema sumbangan NR bersama rakan adalah kerana sumbangan ini dijalankan selama empat minggu pada setiap Jumaat sepanjang bulan ini.

Sumbangan Jumaat pertama pada 10 September lalu, NR dan rakan menziarahi Hospital Sungai Buloh dan akan membuat serahan sumbangan pek makanan dan minuman, telefon tanpa wayar (cordless phone), alat tulis, telefon bimbit dan sedikit peralatan keperluan asas kepada Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan bersama pelakon Anzalna Nasir.

Program pada 17 September lalu pula membabitkan pelakon Farah Nabilah dan Farah Ahmad, semalam. Program seterusnya ialah pada 1 Oktober ini.

KETIKA sesi Instagram Live yang dihoskan Farah Nabilah.
KETIKA sesi Instagram Live yang dihoskan Farah Nabilah.

Ketua Strategi dan Inovasi NR, Radhiah Ahmad berkata, program Instagram Live Amal NR4FRIDAYS berkongsi dan menyentuh pelbagai isu berkaitan kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental semasa tempoh kawalan kendiri ketika wabak Covid-19 melanda negara.

"Ia juga memberi peluang untuk pengikut berinteraksi bagi mengupas dan membuat perkongsian ilmiah mengenai Covid-19. Tajuk yang disusun bersama rakan selebriti NR menjurus berkaitan program kesedaran kepada masyarakat umum. Tajuk Instagram Live yang pertama pada 10 September adalah Pengorbanan dihoskan oleh Anzalna Nasir berkongsi pengorbanan jururawat yang bertugas.

"Minggu seterusnya membawakan tajuk Stigma bersama pelakon Farah Nabilah yang turut membuat perkongsian bersama doktor dan wartawan berkaitan stigma masyarakat berkaitan pesakit Covid-19.

"Semalam, Farah Ahmad berkongsi mengenai kepentingan vaksin dan kesihatan kanak-kanak semasa pandemik. Program terakhir NR4FRIDAYS akan berkongsi berkaitan tajuk yang terlalu dekat dengan masyarakat iaitu kesihatan mental," katanya.

Sementara itu, Farah Nabilah menyifatkan pembabitannya dalam program itu memberi peluang untuknya mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan Covid-19.

"Ini adalah pertama kali saya menjadi hos walaupun secara sesi siaran langsung di Instagram. Sedikit sebanyak saya mendapat maklumat tambahan, malah lebih daripada tetamu jemputan. Saya kena bawakan topik stigma masyarakat terhadap pesakit Covid-19, jadi banyak perkara yang saya baru tahu.

"Dalam masa sama, saya nak puji inisiatif yang dijalankan penganjur kerana ia bukan saja berbentuk informasi, tapi turut membantu pasukan petugas barisan hadapan. Semoga usaha seperti ini dapat diteruskan dan memberi banyak manfaat kepada orang sekeliling.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 6:46 AM