DOLLA dianggotai (dari kiri), Angel, Sabronzo, Syasya dan Tabby.
DOLLA dianggotai (dari kiri), Angel, Sabronzo, Syasya dan Tabby.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Kumpulan Dolla yang melancarkan single baharu berjudul Berani hari ini, tidak menujukan lagu itu kepada kumpulan 'haters' atau pembenci mereka yang sering mengecam selama ini.

Dolla yang dianggotai Sabronzo, Tabby, Syasya dan Angel memaklumkan Berani itu lebih kepada menyebarkan 'vibe' positif kepada golongan wanita di negara ini untuk terus kuat dan cekal menghadapi cabaran hidup.

Syasya berkata, sebagai kumpulan penyanyi wanita yang muncul pada era pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, mereka sentiasa menyemat semangat kuat dan positif menempuhi perjalanan kerjaya ini.

"Saya memang pernah dikecam teruk hingga menerima ugutan bunuh, tapi pertaruhan single Berani ini sama sekali tidak ditujukan kepada semua 'haters' kami. Sebaliknya lagu ini adalah dedikasi Dolla buat semua penyokong kami.

"Kami sangat bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua peminat di atas sokongan berterusan. Kami tak sangka kemunculan Dolla diterima sangat baik sehingga ke tahap ini," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Dolla yang gemar bertukar imej baharu setiap enam bulan, Tabby berkata, mereka sukakan cabaran dan teruja untuk cuba tampil dengan pelbagai imej baharu yang sesuai.

"Kami semua sukakan cabaran dan tertarik dengan fesyen serta imej baharu yang dirasakan sesuai. Malah, tindakan bertukar-tukar imej setiap beberapa bulan adalah langkah yang bagus buat Dolla untuk sentiasa tampil segar.

"Paling utama, kami tidak terikat dengan satu-satu imej saja. Jadi, peminat yang mengikuti kami pasti mendapat dorongan semangat untuk sentiasa kreatif membuat perubahan baru dalam hidup," katanya.

Semalam, Dolla berkongsi berita gembira apabila mereka menjadi artis ketiga dari Malaysia selepas Yuna dan Layla Sania yang dipilih muncul di papan iklan digital tersohor di Times Square, New York, Amerika Syarikat bagi kempen EQUAL oleh pelantar penstriman digital tersohor dunia, Spotify.

Hari ini pula selain melancarkan single baharu, Dolla juga menerima penghargaan Anugerah Platinum untuk Penjualan Single Terbaik (Best Selling Single), Impikan yang hingga kini sudah distrim lebih 200,000 oleh penggemar muzik masa kini.

Selain single Impikan, Dolla sudah muncul dengan beberapa lagu iaitu Makes You Wanna, Watch Me Glow dan Raya Raya Raya yang dilancarkan bagi sambutan Aidilfitri pada awal Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 5:59 PM