IZREEN berkongsi berita kelahiran cahaya mata ketiganya yang juga bayi lelaki menerusi hantaran di Instagram.
IZREEN berkongsi berita kelahiran cahaya mata ketiganya yang juga bayi lelaki menerusi hantaran di Instagram.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Izreen Azminda berkongsi berita kelahiran cahaya mata ketiganya yang juga bayi lelaki menerusi hantaran di Instagram, hari ini.

Dalam hantaran ringkas itu, Izreen mengucapkan syukur atas rezeki yang dikurniakan buatnya dan keluarga.

"Syukur alhamdulillah. Lahirlah seorang lagi putera dalam keluarga kecil kami. Terima kasih buat semua yang mendoakan mama dan bayi," tulisnya.

Izreen berkata, anak ketiganya itu dilahirkan pada jam 9.06 pagi hari ini di sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Izreen juga berkongsi foto si comel itu namun tidak menunjukkan wajah penuh bayi lelakinya. Hantarannya itu menerima ratusan komen dan ucapan tahniah daripada pengikutnya di samping lebih 10,000 tanda 'like'.

Dalam laporan media sebelum ini, Izreen memaklumkan dia perlu bersalin secara pembedahan memandangkan dua anaknya sebelum ini turut dilahirkan menerusi pembedahan.

Anak ketiga ini adalah anak kedua hasil perkahwinannya dengan suami, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude pada 8 Ogos 2017.

Sebelum ini, perkahwinan mereka dikurniakan cahaya mata, Aaron Ibrahim, 2, manakala perkahwinan pertamanya dengan bekas suami, Muhammad Riza Baharudin dikurniakan seorang anak iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia lapan tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 7:17 PM