Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Lagu Sifar nyanyian Afsanshah, Tripdisz dan Kmy Kmo dipilih sebagai finalis kategori Music Is Key di International Media Festival For Prevention (IMFP) sempena Kongres Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dunia XXII di Toronto, Kanada.

Lagu yang menjadi runut bunyi filem Warkah yang diterbitkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 2019 itu bakal bersaing dengan dua lagu lain untuk kategori berkenaan.

Perkeso dalam satu kenyataan berkata, Sifar diterbitkan bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan jaringan keselamatan sosial. Ia termasuk inisiatif pencegahan kemalangan terutama dalam kalangan generasi muda.

"Lagu ini turut menyelitkan elemen Vision Zero iaitu transformasi terhadap aspek pencegahan menggabungkan elemen keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan yang diperkenalkan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).

"Panduan ini adalah bagi mengurangkan kemalangan di tempat kerja dan penyakit akibat pekerjaan seperti yang dipaparkan dalam lirik Sifar," katanya.

Sejak dilancarkan pada November 2019, Sifar dimuat naik beberapa kali di YouTube dan mendapat lebih 700,000 tontonan.

Justeru, Perkeso berharap pencalonannya di IMFP dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

"Kita juga berharap ia dapat meningkatkan kesedaran dan pemahaman rakyat Malaysia terutama anak muda mengenai kepentingan memperoleh perlindungan keselamatan sosial melalui cara yang lebih kreatif dan dekat di hati mereka.

"Ini amat penting sejajar dengan peningkatan tenaga kerja muda dalam pelbagai sektor ekonomi yang menjadi pilihan ramai sebagai kerjaya.

"Harapan Perkeso adalah untuk mengibarkan bendera Malaysia sebagai juara di pertandingan peringkat antarabangsa ini," katanya.

IMFP adalah acara mengiktiraf filem dan karya multimedia yang mengangkat tema keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Tahun ini, sebanyak 289 penyertaan diterima dari 40 negara di seluruh dunia. IMFP dianjurkan setiap tiga tahun sempena Kongres Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dunia XXII.

Keputusan pemenang akan diumumkan pada 22 September 2021 ini sempena majlis pembukaan kongres itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 12:46 PM