SHUK bersama Maulana Helmi.
SHUK bersama Maulana Helmi.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelawak dan pengacara yang juga bekas penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar kini mengikuti jejak beberapa rakan selebriti lain apabila menyertai kumpulan dakwah tabligh.

Pembabitannya tular selepas Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar memuat naik gambarnya bersama Maulana Helmi di akaun Instagramnya.

Maulana Helmi adalah individu popular dikalangan artis yang berhijrah sebelum ini antaranya Amar Asyraf, Ali XPDC dan ramai lagi.

Sementara itu, beberapa gambar Shuk ketika mengikuti aktiviti terbabit turut dikongsikan di akaun Instagram @dakwahtablighmalaysia.

"Shuk keluar ke jalan Allah, doakan dia istiqamah di jalan Allah," tulis pengendali akaun berkenaan.

Dakwah Tabligh Malaysia berharap orang ramai dapat mendoakan supaya Shuk istiqamah dalam apa bidang yang kini diceburinya.

"Insya-Allah, ada rezeki bertemu lagi," catat Dakwah Tabligh Malaysia sambil meninggalkan sedikit nukilan nasihat berkaitan istiqamah dalam kehidupan.

Perkongsian itu menerima maklum balas sangat positif di dalam kalangan netizen. Malah, kebanyakan netizen rata-rata meluahkan rasa syukur dan mendoakan yang terbaik buat Shuk.

Sebelum ini, nama Shuk agak panas dan cukup sensasi selepas dia terpalit dengan isu peribadi membabitkan kecurangan terhadap isterinya, Sera berikutan mempunyai 'kekasih gelap'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 11:26 AM