ALINA
ALINA
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Nak buat apa kerja pun tak boleh. Jadi sekarang saya hanya mengajar mengaji untuk anak-anak jiran di rumah," kata penyanyi Alina Hassan, 53.

Alina juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018  berkata, aktiviti ini bermula apabila ibubapa kanak-kanak terbabit bertanya sekiranya dia sudi mengajar anak-anak mereka mengaji Iqra.

"Tak tahulah macam mana mereka dapat nombor telefon saya. Alhamdulillah, saya pun okey saja kerana benda baik dan kanak-kanak yang belajar pula berusia lima  hingga enam tahun.

"Setakat ini bilangannya tidaklah ramai. Ada yang rajin datang dan ada yang sekali sekala. Biasalah budak-budak. 

"Kelas bermula pada jam 10 pagi. Biasanya kanak-kanak maksima belajar hanya 15 minit.  Tak boleh lama," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Alina, dia tidak mengenakan sebarang bayaran untuk khidmatnya, sebaliknya dikontra dengan makanan.

"Selalunya mereka bagi makanan tengahari. Ada juga yang bagi lauk pauk. Ini pun dah cukup menggembirakan saya.

"Setakat ini saya tak terfikir untuk buat kelas mengajar secara maya kerana itu perlukan ilmu yang sempurna. Mereka yang pandai  mengajar tarannum, tajwid bolehlah. 

"Saya belum sampai tahap itu. Setakat Iqra saja. Alhamdulillah, budak-budak pun suka belajar dengan saya," katanya. 

Alina juga berusaha membuat persembahan secara langsung di Facebook dan sambutan yang diterima daripada peminat amat menggalakkan.

Terdahulu, Alina pernah mendapat tumpuan masyarakat apabila menghuni bilik kecil yang sempit, namun akhirnya mendapat perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyewakan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuknya.

"Alhamdulillah, diam tak diam bulan ini genap setahun saya tinggal di PPR Desa Rejang, Setapak. Saya juga dapat bantuan dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM300 sebulan dan gunakan untuk bayar sewa rumah RM124 sebulan.

"Cuma, hingga kini anak-anak saya terutama Mohd Alif yang menghidap autisme yang berada di Terengganu tak dapat lagi datang ke sini sampai sekarang.  

"Saya dah cuba sebelum ini tapi gagal kerana kawasan ini pernah kena Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebab kes jangkitan Covid-19 agak tinggi.

"Bapanya pun risau nak lepaskan datang berjumpa saya. Tapi, mereka memang tak sabar kerana bilik dah siap dan mereka pun sudah ambil vaksin. Selepas ini, saya cadang nak balik ambil mereka," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 2:47 PM