Norhayati Nordin

SEBAIK Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) buat penggiat industri kreatif bermula Khamis lalu, ia disambut baik semua insan seni sama ada pelakon, penyanyi, pengacara, pengarah mahupun penerbit.

Bagi mereka, ia umpama sinar baharu untuk menyusun semula kerja seni yang tergendala sebelum ini terutama buat penyanyi sepenuh masa yang hampir dua tahun akur tiada tawaran persembahan.

Penyanyi, pelakon dan pengacara, Wani Kayrie menyifatkan kelonggaran SOP yang diumumkan itu bagaikan memberi cahaya bermakna buat semua penggiat seni yang terjejas selama ini.

"Walaupun tawaran menyanyi sangat kurang, saya bersyukur masih mendapat peluang menerokai bidang pengacaraan dan berlakon drama.

"Ada beberapa tawaran kerja sebagai hos program dan berlakon yang saya terima ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menunggu kebenaran untuk penggambaran," katanya.

Bagaimanapun, Wani tetap peka dan amat memahami keadaan rakan penggiat seni lain yang ada di antaranya tiada kerja terutama pekerja di belakang tabir.

"Disebabkan terlalu lama tidak bekerja wang simpanan yang ada terpaksa digunakan untuk menanggung kehidupan. Ada juga di antaranya mula berniaga kecil-kecilan kerana desakan hidup.

WANI Kayrie gembira ada kelonggaran untuk penggiat seni bekerja semula.
WANI Kayrie gembira ada kelonggaran untuk penggiat seni bekerja semula.

"Sejujurnya saya sedih juga melihat nasib yang menimpa segelintir rakan dalam industri seni, tapi nak buat macam mana kehidupan perlu diteruskan seperti biasa," katanya.

Selesa berfikiran positif, gadis berusia 21 tahun ini berkata, dengan kelonggaran itu diharapkan semua penggiat seni mengambil peluang yang ada ini untuk menstabilkan semula pekerjaan yang terjejas.

"Tiba masa dan peluang bagi kita sebagai penggiat seni untuk kembalikan nama dan posisi dalam semua cabang kerja di industri ini. Sekarang, masanya untuk bangkit semula.

"Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah mendapat tawaran kerja, tapi tertangguh sebelum ini. Apa-apa pun, ingin diingatkan juga agar tidak terlalu 'demand' meletak bayaran pada masa sekarang.

"Saya tahu apabila sudah terlalu lama tidak bekerja, ramai orang berhadapan masalah tersendiri terutama pendapatan yang terputus, tapi yang paling utama adalah pendedahan dan pengalaman ditimba," katanya.

Mengulas kerjaya nyanyiannya, Wani berkata, dia perlu membuat perancangan semula.

Katanya, penularan Covid-19 dalam tempoh lebih setahun ini ternyata membawa dugaan dan cabaran besar buat semua.

Dalam pada itu, penyanyi, pelakon dan pengacara Afieq Shazwan, 24, tidak sabar untuk kembali bekerja seperti dulu di lokasi penggambaran kerana ada projek drama yang tertangguh.

"Kalau ikutkan perancangan saya, ada banyak. Tapi, saya pilih nak selesaikan penggambaran drama Diari Seorang Suami untuk TV3 dan satu program travelog ke Sabah yang masih menunggu kebenaran.

"Saya nak selesaikan kerja yang tertunda sebelum ini selagi ruang dan peluang diberikan kerajaan. Ini kerana kita tak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang.

"Pandemik ini tak tahu bila akan hilang sepenuhnya, tapi sebaik kelonggaran buat penggiat seni dibenarkan kembali semula bekerja di lokasi, saya berasa sangat bersyukur. Ditambah, rindu nak kerja pun sudah menebal," katanya.

Afieq yang lengkap dua dos vaksin pada pertengahan Ogos lalu berkata, dia tetap mengutamakan pematuhan SOP ditetapkan.

"Saya juga tidak kisah kalau kena guna wang sendiri untuk membuat ujian calitan sekiranya pihak produksi tidak menyediakannya untuk pelakon. Bagi saya, demi keselamatan diri sendiri, keluarga dan orang sekeliling tidak perlu terlalu berkira," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 6:30 AM