AISHAH bersama jururawat di Hospital Ampang, Kuala Lumpur.
AISHAH bersama jururawat di Hospital Ampang, Kuala Lumpur.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Seperti diberikan peluang kedua untuk memperbaiki diri."

Itu kata penyanyi Aishah yang hampir dua minggu bertarung nyawa melawan Covid-19 selain menyifatkan pengalaman ngeri yang dilalui umpama isyarat dari Tuhan.

Aishah bersyukur apabila keadaan kesihatannya semakin pulih dan dibenarkan pulang ke rumah, semalam. "Alhamdulillah, tak tahu nak cakap macam mana betapa bersyukurnya. Hari yang dinanti-nantikan. Dapat balik rumah, alhamdulillah. Terkenangkan rumah dah.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Doakan supaya kesihatan saya pulih sepenuhnya," katanya dalam satu hantaran video terbaharu di Instagram.

Sebelum meninggalkan kawasan wad, penyanyi yang menerima rawatan di Hospital Ampang itu sempat menyanyikan lagu Bahtera Merdeka dan mengucapkan terima kasih kepada barisan petugas hadapan yang sentiasa ada membantunya sepanjang dirawat di wad.

"Masuk hospital pada 30 Ogos, tak sempat nyanyi lagu ini. Terima kasih petugas barisan hadapan. Ini wajah-wajahnya, ada masanya baik, ada masanya macam drakula sebab ambil darah aku kiri kanan sampai lebam biru. Ini wajahnya yang tak habis-habis cucuk jarum.

"Pagi-pagi buta ingatkan apa mereka nak, rupa-rupanya mereka nak ambil gambar. Terima kasih banyak. Kalau ada buat majlis makan malam tahunan, jemput saja saya, nanti kita nyanyi lagu Janji Manismu sama-sama," selorohnya dalam sebuah lagi video berasingan.

Sementara itu, Aishah ketika dihubungi bagaimanapun meminta untuk diberikan masa untuk ditemubual kerana perlu mendapatkan ubat terlebih dulu.

"Nanti saya hubungi. Sekarang saya nak makan ubat dulu," katanya dalam keadaan yang sedikit sukar untuk bercakap.

Terdahulu, Aishah mengesahkan diri positif Covid-19 pada 30 Ogos lalu selepas menjalani ujian calitan sehari sebelumnya.

Dia melakukan Kit Ujian Pantas (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta sebelum disarankan doktor untuk segera mendapatkan rawatan berikutan paras oksigennya menurun ke 92 peratus.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 3:21 PM