Mimi Lana
Mimi Lana
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Hantaran gambar pelakon Mimi Lana mengenakan inai di tangan sambil duduk di atas pelamin mengundang persoalan dalam kalangan netizen.

Disebabkan gambar yang dimuat naik di Instagram itu, ramai menyangka pelakon itu sudah bertunang dengan kekasihnya yang juga pelakon popular, Syafiq Kyle.

Menguatkan lagi dakwaan itu, beberapa rakan selebriti turut mengucapkan tahniah kerana menyangkakan bahawa mereka melangsungkan hari bahagia itu hari ini.

Bagaimanapun, Mimi segera menafikan perkara itu dan memohon maaf kerana mengelirukan banyak pihak.

"Saya minta maaf. Merujuk kepada gambar terbaharu saya (di Instagram) itu hanya meraikan sepupu kesayangan saya bernikah hari ini.

"Terima kasih kerana mendoakan yang baik-baik untuk saya. Jangan risau, kalau ada berita gembira, Insya-Allah saya akan kongsikan dengan semua orang pada masa akan datang," katanya.

Mimi dan Syafiq sudah hampir lima tahun bercinta sebelum didakwa putus pada Mei tahun lalu.

Namun, hubungan mereka kembali terjalin selepas Mimi memuat naik gambar mereka berdua di media sosial.

Malah, Syafiq juga sebelum ini mengesahkan hubungan mereka sedang menuju ke arah yang baik dan positif.

Namun, Syafiq lebih selesa untuk tidak mendedahkan secara terperinci selepas dia dan Mimi kembali bersama.

"Alhamdulillah, hubungan kami berdua baik-baik saja. Saya anggap ini adalah peluang kedua selain menjadikan hubungan semakin matang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 1:53 PM