FOTO lama Ella dan Rashid curi perhatian netizen di Twitter.
FOTO lama Ella dan Rashid curi perhatian netizen di Twitter.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Ratu Rock Malaysia, Ella Aminuddin menerusi Twitternya semalam, memuat naik ciapan dan gambar yang mencuri perhatian netizen.

Ciapan itu adalah sebagai komen balas kepada ciapan seorang pengguna Twitter yang berkongsi keterujaannya apabila membaca gosip percintaan antara Ella dengan  jurulatih badminton para negara, Datuk Rashid Sidek, suatu ketika dahulu.

"Ala, cerita lama. Hanya kawan. Lagipun, saya adalah peminat Anak-anak Sidek. Okey, gambar ini, jelas sikit," tulis Ella dalam ciapannya disertakan dengan emoji jambangan bunga.

Rentetan daripada itu, pelbagai soalan dan komen 'manja' diajukan netizen kepada penyanyi lagu Standing in the Eyes of the World itu antaranya, ada yang mengharapkan agar Ella dan Rashid berkahwin pada ketika itu.

"Kak El! Masa itu, semua harap Kak El dengan Rashid menjadi, tau. 'Wedding of the year'. Tapi, hanya kawan saja rupanya,".

Ella kemudiannya membalas ciapan itu dan menjelaskan bahawa dia sedang 'menunggu' suaminya.

"Tak, sebab saya tengah tunggu suami. Waktu itu dia (suami) masih sekolah," tulisnya.

Lebih lucu, ada juga netizen yang berkongsi gambar watak Jijo lakonan Khir Rahman dalam filem Rock Bro!, kerana Jijo bercinta dengan watak Ella lakonan Amy Juliet.

Terdahulu, individu bernama Liyana Abdul memuat naik ciapan dan keratan akhbar menampilkan Ella dan Rashid, yang diambil pada tahun 1990-an.

Ciapan balas Ella itu mencuri perhatian ramai pengguna Twitter dan ia diciap ulang lebih 6,000 kali, di samping menerima lebih 15,000 tanda suka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 7:10 PM