Sarah Harding
Sarah Harding
Agensi 

London: Bekas anggota kumpulan Girls Aloud, Sarah Harding, 39, meninggal dunia pada Ahad lalu selepas berjuang melawan penyakit kanser payudara.

   Berita duka itu diumumkan sendiri oleh ibunya, Marie menerusi Instagram Sarah.

   "Dukacitanya saya mahu berkongsi berita tentang anak perempuan saya, Sarah telah meninggal dunia.

   "Ramai yang tahu Sarah berlawan dengan penyakit kanser dan dia lawan dengan kuat sehingga ke hari terakhirnya. Dia pergi dengan tenang pada pagi ini (Ahad lalu)," tulisnya.

   Marie turut mengucapkan terima kasih terhadap sokongan dan perhatian yang diberikan untuk anaknya selama berdepan detik sukar itu.

   "Ia amat bererti untuk Sarah, memberinya kekuatan dan ketenangan kerana tahu dirinya dicintai. Saya tahu dia tidak mahu dikenang kerana perjuangannya melawan penyakit mengerikan ini.

   "Dia adalah bintang yang bersinar, dan saya harap dia akan dikenang seperti ini," katanya. 

   Sarah didiagnosis dengan penyakit kanser payudara pada 2019 selepas dia mengesan ketulan di bawah lengannya.

   Dia kemudiannya bercerita lebih lengkap dalam memoirnya bertajuk Hear Me Out.

   Sarah menjalani beberapa rawatan termasuk kemoterapi untuk sembuh, namun dia memberitahu sukar baginya menerima perubahan tubuh selepas itu.

   "Aku tidak boleh melihat diriku di cermin lagi. Aku tidak boleh menghadapinya. Di atas semua itu, aku tidak terlihat seperti diriku lagi," tulisnya.

   Terdahulu pada Mac lalu, Sarah mendedahkan doktor memberitahu dia tidak akan dapat menyaksikan sambutan Krismas yang seterusnya.

   "Saya cuba untuk menikmati setiap saat kehidupan saya selama yang boleh," katanya. 

   Rakan-rakan artis, termasuk bekas anggota Girls Aloud iaitu Nadine Coyle meluahkan rasa sedih di media sosial.

  Sarah adalah salah satu seorang pemenang dalam pertandingan Popstars: The Rivals pada 2002. 

   Dari situ lahirnya Girls Aloud yang turut dianggotai Kimberley Walsh, Nicola Roberts, Cheryl Tweedy dan juga Nadine Coyle. 

  Mereka mencipta rekod apabila menjadi kumpulan wanita Britain paling laris selepas kira-kira 4.3 juta single serta empat juta unit album terjual. Bagaimanapun, Girls Aloud dibubarkan pada 2013. 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 11:53 AM