Shuk bersama isteri, Sera yang sentiasa bersama saat suka dan duka.
Shuk bersama isteri, Sera yang sentiasa bersama saat suka dan duka.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak Shuk Sahar, 36, mengakui tidak mudah untuknya menjalankan perniagaaan yang diusahakan namun, bersyukur atas sokongan daripada rakyat Malaysia. 

Ia berikutan, Shuk sedar dirinya sering terpalit kontroversi membabitkan peribadi seperti masalah rumah tangga yang membuatkan dia tidak terlepas menerima pelbagai kecaman hebat daripada netizen.

Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar berkata, walaupun pernah dikecam gara-gara terpalit dengan konflik cinta segi,  perniagaan kafe minuman miliknya, Semooth Cafe tidak terjejas dengan insiden yang berlaku. 

 

"Sebenarnya empat bulan pertama memang agak mencabar sebab kena keluar duit sendiri dan saya juga terpaksa turun padang, pergi rumah ke rumah dan buat kejutan hari lahir kepada pelanggan yang membeli minuman. 

"Alhamdulillah, orang Malaysia semuanya baik-baik. Bila mereka tengok saya cuba buat sesuatu yang lain (berniaga) bersama keluarga, mereka lebih mendoakan dan menyokong. Malah, kawan-kawan saya pun ramai yang beri sokongan datang ke kedai. 

"Alhamdullilah perniagaan saya tak terjejas pun dengan kontroversi yang berlaku dan bersyukur kemelut yang tercetus sudah berakhir," katanya yang baru melancarkan gerai minuman dikenali SemootNgopi di Denai Alam, Shah Alam, Selangor, semalam. 

Terdahulu Shuk berdepan dengan kontroversi apabila dia didakwa berlaku curang terhadap isterinya dengan seorang wanita dikenali Fara Salleh. 

Sekitar awal Ogos lalu, konflik cinta tiga segi Shuk seakan-akan tidak berpenghujung apabila wanita terbabit mendedahkan satu salinan laporan polis berhubung dakwaan kes cabul membabitkan pelawak itu.

Enggan membiarkan dakwaan serius itu terus menjadi bualan ramai, Shuk dan isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah yang dikenali sebagai Sera membuat laporan polis terhadap wanita berkenaan di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu. 

Ditanya mengenai pelancaran gerai minuman kopi yang diusahakan, Shuk berkata, ia adalah idea asal daripada isterinya, Sera.

Malah, Shuk dan rakan kongsi perniagaannya, Muhammad Faizal ingin membantu peniaga kecil dengan menyediakan peluang terbabit kepada mereka untuk membuka kedai kopi di tepi jalan dengan hanya bermodalkan RM4,000. 

"Idea untuk buka kedai kopi ini daripada isteri saya yang sememangnya minat dalam bidang perniagaan. Kita lihat ramai peminat kopi, jadi datanglah idea untuk buat kedai kopi tepi jalan. 

"Bila dia bagi idea, saya bincang dengan rakan kongsi untuk buka kedai kecil. Selain itu, kami juga membuka peluang kepada peniaga kecil lain. Sebagai contoh, mereka tiada modal yang besar untuk mula berniaga. 

"Jadi, kita bantu peniaga kecil dengan hanya bermodalkan RM4,000, mereka boleh buka kedai kecil dan kami akan sediakan sembilan jenis kopi dan satu air berperisa coklat untuk mereka terus mula berniaga," katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 11:02 AM