Khaty dan suami (duduk dari kiri) bersama dua anaknya, Sam serta Samzy.
Khaty dan suami (duduk dari kiri) bersama dua anaknya, Sam serta Samzy.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Kathy Fauziah dan suaminya, Abdul Samad Jaaman yang kini menetap di Melaka dikecam hebat apabila didakwa merentas negeri dan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Dalam hantarannya di Instagram, Kathy menjelaskan bahawa dia baru saja menjalani prosedur jantung tiga bulan lalu dan bermalam di rumah anaknya kerana perlu ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani rawatan.

"Saya sebenarnya tidak perlu buktikan apa-apa di sini berkenaan dengan peristiwa semalam yang menjadikan sebahagian daripada anda semua bertelagah sehingga melemparkan berbagai sindiran.

"Saya dan suami yang merentas negeri. Anak-anak semua tinggal di persekitaran daerah yang sama di Selangor. Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kami juga macam anda, tak dapat berjumpa.

"Kalau anda memang ikhlas mengikuti perkembangan saya dan keluarga, tentu anda tahu saya baru menjalani prosedur jantung tiga bulan yang lalu. Tentulah saya perlu ke IJN untuk buat susulan," tulisnya.

Tambahnya, dia dan suami juga mengikuti SOP dan menjalani ujian calitan sebelum bermalam di rumah anaknya.

"Saya kena bermalam di rumah anak yang ada anak ramai. Untuk masuk ke rumahnya saya dan suami kena tunggu 15 minit baru dapat masuk setelah buat ujian calitan dan sebagainya dan mengikut SOP," katanya.

Menurut Khaty, ketika dia menjalani pembedahan jantung itu, kesemua anak, menantu dan cucu-cucunya tidak dapat bertemu dengannya.

"Untuk pengetahuan anda semua, ketika saya buat prosedur jantung yang sangat serius pada ketika itu, anak-anak, menantu-menantu serta cucu-cucu tidak langsung dapat melawat sehinggalah saya balik ke Melaka sebab kami patuh pada SOP.

"Anda dapat bayangkan tak kalaulah prosedur jantung saya gagal ketika itu? Saya dan keluarga saya langsung tidak dapat bersama atau berjumpa.

"Belajarlah menjaga hati dan perasaan orang, belajar berbahasa elok supaya bangsa kita dihormati. Saya dan keluarga juga hanya manusia biasa, kalau silap dan salah harap dimaafkan saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 8:29 PM